Salman bebas tuduhan langgar lari
Mahkamah Tinggi Mumbai hari ini membatalkan sabitan terhadap pelakon Salman Khan yang sebelum ini dihukum penjara kerana terlibat dalam insiden langgar lari dan menyebabkan kematian.
Pada Mei lalu Salman didapati bersalah memandu keretanya yang terbabas sehingga menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki gelandangan.
Ketika kejadian pada 2002 itu, mangsa sedang tidur di kaki lima jalan sebelum dirempuh kereta Salman.
Rempuhan Toyota Land Cruiser Salman juga menyebabkan empat individu lain cedera parah.
Hakim kemudian mengarahkan Salman dipenjara lima tahun, namun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga rayuan kesnya diputuskan.
Hari ini hakim memberitahu bukti yang dikemukakan pihak pendakwa bagi menyokong tuduhan terhadap pelakon berusia 49 tahun itu tidak menyeluruh.
Salman adalah salah seorang bintang paling popular di Bollywood dan pernah muncul dalam lebih 80 filem selain mempunyai pengagum di seluruh dunia.
Salman titis air mata
BBC melaporkan, Salman bergegas ke mahkamah selepas hakim bertegas mahu dia hadir di sebelum keputusan dibacakan.
AFP pula melaporkan hakim berkata, mahkamah menerima rayuan dibuat Salman dan mengetepikan sabitan terdahulu.
"Salman dibebaskan daripada semua tuduhan. Pendakwa gagal mengemukakan bukti melebih keraguan munasabah," kata hakim Anil Ramchandra Joshi.
Salman - yang dikelilingi ahli keluarganya - kemudian dilihat menangis mendengar keputusan berkenaan.
Ketika perbicaraan Salman mendakwa keretanya dikendalikan pemandunya, namun hakim menerima hujah bahawa pelakon terbabit bertanggungjawab memandu dalam keadaan mabuk.
Mahkamah Tinggi pula menyatakan, bukti utama - termasuk keterangan daripada seorang anggota polis (kini sudah meninggal dunia) - tidak boleh digunakan.
Media melaporkan, pendakwa bercadang mencabar keputusan itu dalam tempoh terdekat.

