Ella pasrah hadapi ketentuan Tuhan
Keinginan memang sentiasa ada tetapi jika tuhan belum mentakdirkan ada rezeki, apa yang boleh dilakukan kecuali pasrah dan terus berdoa.
Paling tidak, begitu perasaan penyanyi Ella apabila ditanya peminat tentang zuriatnya.
Menurut penyanyi digelar ratu rock itu, penantian untuk menimang zuriat bukanlah satu penyeksaan.
"Semua sudah tertulis, dan rezeki segalanya di tangan.
"Kita kena sentiasa positif untuk terus maju dan terus melangkah,” katanya kepada Malaysiakini.
Ella ditemui di majlis pengumuman pelancaran aplikasi Samsung Milk Music Groove oleh Samsung Malaysia Electronics di stesen LRT Kelana Jaya.
Penyanyi Sembilu itu berkahwin dengan juruterbang syarikat penerbangan Firefly, Azhar Ghazali, 30, pada 2012.
Pasangan itu dinikahkan di kediaman pengantin perempuan di Teluk Gadong, Klang.
Terdahulu, penyanyi Dua Insan Bercinta itu pernah dikaitkan dengan spekulasi kehamilan sebanyak dua kali.
Umum kalau ada
Kisah itu menarik perhatian peminat malah mendapat tempat di media tempatan.
Kali pertama spekulasi itu bertebaran sekitar 2013 dan terbaru tahun ini.
Tidak membenci mahupun merajuk dengan spekulasi umum mengenai status kehamilan, Ella memilih untuk sentiasa berfikiran positif terbuka menghadapi situasi berkenaan.
“Tak mengapa. Mereka mengambil tahu dan ia boleh dianggap sebagai doa, malah sekaligus menunjukkan mereka mengambil berat tentang Ella,” katanya.
Menurut Ella, seandainya dia dikurniakan rezeki memiliki zuriat, sudah pasti ia tidak akan dirahsiakan daripada pengetahuan umum
“Saya akan umumkan apabila ada.
“Jika ada orang bertanya dan sememangnya ada, saya akan jawab ya,” katanya.
Ketika ditemui di majlis berkenaan, Ella hadir dengan pakaian berwarna hitam yang membaluti susuk tubuhnya yang kelihatan sedikit berisi.
Apabila ditanya mengenai penampilannya kali itu, Ella memberi jawapan ringkas: Ia mengikut gaya terkini dan berat badan bertambah.
Mengenai perkembangan kariernya pula, Ella menjangkakan album terbaru akan keluar Januari nanti.
Album yang akan menampilkan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 lagu itu, kata Ella, mendapat sentuhan Datuk M Nasir serta beberapa pencipta lain seperti Bunkface dan Edry Hashim.
Ella juga menyatakan harapannya mengulangi kejayaan seperti album ELLA USA - salah satu detik kemuncak dalam kerjayanya sebagai anak seni - yang dirakam sepenuhnya di AS pada 1994.
“Saya tidak kisah kerana album itu adalah eksperimen, sekiranya ada rezeki lagi, selepas ini mungkin merakam lagu di tempat lain pula.
“Siapa tahu sekiranya saya boleh melakukan perkara itu di Asia pula,” katanya.

