Star Wars: The Force Awakens adalah kesinambungan Return Of The Jedi (1983) dan jalan cerita yang mengambil tempat 30 tahun selepas runtuhnya Galactic Empire dalam filem berkenaan.

Filem ini diarahkan oleh J J Abrams, selaku produser dan penulis skrip bersama Lawrence Kasdan dan Michael Arndt.

Karakter dalam filem ini adalah campuran pelakon trilogi terdahulu, iaitu Harrison Ford, Carrie Fisher, Mark Hamill, dan pelakon baru seperti Oscar Isaac, John Boyega, dan Daisy Ridley.

Sungguhpun begitu, watak yang menonjol adalah John Boyega sebagai Finn dan Daisy Ridley sebagai Rey.

Babak aksi bermula seawal minit kelima dan terus membawa penonton menuju situasi konflik antara kuasa baik dan jahat.

Dan dalam masa yang sama babak itu memperkenalkan watak-watak baru dan situasi yang bakal mereka hadapi.

Kuasa baik ini dinamakan The Resistance - kumpulan pejuang yang diketuai oleh General Leia (Carrie Fisher) - menentang kuasa jahat iaitu The First Order.

Mencari Skywalker

Ejen kuasa jahat terdiri daripada Jeneral Hux (Domnhall Glesson), Kylo Ren (Adam Driver), Kapten Phasma (Gwendoline Christie) dan diketuai Supreme Leader Snoke (Andy Serkis).

Mereka pewaris Galactic Empire dan ingin meneruskan idealogi mendominasi galaksi.

Plot utama cerita ini tertumpu kepada pencarian Luke Skywalker (Mark Hamill) yang telah lama menghilangkan diri.

Poe Dameron (Oscar Isaac), salah seorang pejuang The Resistance, mengetahui lokasi kedudukan Skywalker daripada seorang karakter misteri bernama Lor San Tekka (Max Von Sydow) di planet Jakku dan menyembunyikan maklumat rahsia itu di dalam sebuah droid bernama BB-8.

Inilah titik permulaan kepada segala konflik dan peperangan yang bakal berlaku sepanjang perjalanan cerita The Force Awakens.

Hampir keseluruhan babak aksi dalam filem ini boleh dikatakan mengagumkan dan memberangsangkan.

Filem ini membabitkan perang angkasa, TIE Fighter dan X-Wing hingga pertelingkahan lightsaber antara kuasa baik dan jahat, semuanya pada skop dan skala yang besar - sesuatu yang sering didambakan peminat tegar Star Wars.

Pun begitu, masih ada beberapa babak dilihat tidak masuk akal.

Ia misalnya dilihat semasa The First Order yang memiliki senjata Starkiller Base - 10 kali ganda lebih hebat dari Death Star - ditewaskan dengan mudah dan pantas oleh The Resistance.

Penonton terpinga-pinga

Padahal, The Resistance hanya menggunakan senjata X-Wing fighter. Bagaimana kita boleh menerima dengan mudah senjata yang 10 kali ganda lebih besar ditewaskan dengan cara begitu.

Dari segi pembawakan watak jahat utama, Kylo Ren (Adam Driver) yang berdepan dengan Han Solo (Harisson Ford), dilihat hanya memberi persembahan ala kadar.

Lakonan Driver tidak menunjukkan babak itu penting manakala bagi Ford adalah sebaliknya.

Salah satu elemen yang membuat penonton terpinga-pinga ialah kebolehan dipegang watak Rey (Daisy Ridley). Di sini, Rey tidak semena-mena hebat daripada pelbagai aspek.

Contohnya, Rey memandu Millenium Falcon dengan mudah dan berlawan menggunakan lightsaber seperti Jedi Master.

Sememangnya Abrams mahu menunjukkan Rey mempunyai kehebatan force, tetapi kebolehan yang dapat menandingi Skywalker menerusi satu filem tidak boleh diterima.

Ini kerana, Skywalker hanya ‘khatam’ pelajarannya selepas menerusi tiga filem sebelum ini.

Soalan tak terjawab

Walau apa pun, pujian harus diberikan kepada kedua pelakon baru John Boyega dan Daisy Ridley kerana lakonan mereka memberi nafas segar untuk peminat Star Wars baru dan lama.

Lakonan pelakon trilogi terdahulu sememangnya tidak menghampakan. Ini menunjukkan mereka masih relevan dalam kesinambungan jalan cerita baru ini.

Selain itu, Abrams berjaya meneruskan legasi George Lucas dari segi penggunaan CGI yang terhad dan memberi lebih fokus kepada efek-efek praktikal.

Sungguhpun begitu, skrip The Force Awakens tidak berapa kukuh, dan terdapat banyak babak cuba dipaparkan secara gopoh sehingga menjadikan penonton kehilangan plot.

Pada babak penghujung, selepas Rey menemui Skywalker di sebuah planet untuk memberi alat penting, mereka memandang satu sama lain dan adegan itu tamat begitu saja.

Sebahagian besar penonton sedar akan adanya sequel, namun babak ini masih tidak menjawab banyak persoalan daripada filem terdahulu.

Bagaimanapun, filem ini penuh dengan aksi-aksi hebat, set dan kostum yang menakjubkan, kesan bunyi dan skor yang tidak pernah mengecewakan daripada John Williams.

Star Wars: The Force Awakens mungkin sesuai untuk generasi sekarang dan menjadi fasa baru untuk peminat lama kerana membawa persembahan penuh aksi dari awal hingga akhir, sekaligus dapat mengubati rindu peminat tegar siri itu.


A R AIZU seorang anak muda penggemar aktiviti lasak, pengumpul mainan dan peminat filem.