Bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan, Adira mengesahkan dia kini sudah menjadi isteri orang selepas bernikah dengan ahli perniagaan tiga minggu lalu.
“Memang betul saya sudah berkahwin dan (menjadi) isteri kedua kepada Datuk Seri Adnan Abu," katanya melalui media sosial.
Khabar mengenai perkahwinan Adira itu mula tersebar pada Khamis lalu apabila seorang pemilik akaun "Datin Red" di Instagram membuat pendedahan.
Ia kemudian diikuti pengakuan "Dato Red" dalam Instagram yang mengiringi pengesahan itu dengan gambar isteri pertama beliau bersama Adira.
Menurut Datin Red, dia kini bermadu dengan Adira - sekali gus menunjukkan pernikahan itu berlangsung dengan baik dan hasil persetujuan semua pihak yang terlibat.
Difahamkan, suami Adira adalah ahli perniagaan.
Sebelum ini, Adira pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang pemimpin belia tetapi ikatan itu terputus pada Jun lalu.
Adira berkata, dia tidak mendedahkan perkara itu atas alasan untuk menjaga air muka sesetengah pihak.
“Saya berdiam diri bukan kerana mahu melarikan diri atau menyembunyikan perkara sebenar, sebaliknya mahu menjaga hati banyak pihak.
“Perincian berkenaan majlis tidak dikongsi kerana lebih baik pihak lelaki yang memaklumkan perkara berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Adira berasal dari Ranau, Sabah dan dilaporkan aktif menyanyi dengan menyertai kumpulan nasyid sejak sekolah.
Dalam Akademi Fantasia 8, Adira diumum sebagai naib juara di belakang Shahir.
A photo posted by dato red (@dato__red) on
