Menikmati "pengalaman indah" sambil menjana dana untuk membantu sekolah tahfiz - itu yang bakal anda alami jika singgah di Istana Budaya (IB) dan menikmati pameran khat Cahaya Jiwa yang berlangsung sehingga 25 Disember ini.

Sebanyak 30 karya Saiful Kadir kini ditempatkan di IB mulai esok dan kutipan daripada jualan lukisan itu disalurkan untuk membantu pembangunan dan operasi Al-Bayyan School of Quran and Hadith.

Pusat tahfiz iu adalah inisiatif vakalis Search, Amy.

Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman yang merasmikan pameran berkata, menghargai lukisan khat sambil beramal untuk membantu pusat tahfiz pengalaman "paling indah".

“Pameran ini mempunyai dua matlamat serentak iaitu mempromosikan karya seni berkonsep Islam dan pada masa sama menjana dana Al-Bayyan School of Quran and Hadith," katanya.

Wan Mohd Fadzmi juga berkata, kesediaan Agro Bank menaja pameran itu selaras dengan peralihan Agro Bank menjadi institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai lalu.

Mahu tubuh setiap negeri

Al-Bayyan ditubuhkan sejak awal 2015 dengan mengkhususkan pelajar berumur tujuh hingga 15 tahun.

Ketika ini seramai 33 orang pelajar mendalami ilmu Islam di pusat tahfiz berkenaan..

Pameran Cahaya Jiwa diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul pada 24 Disember ini.

Setiap pembelian lukisan, 30 peratus daripada harganya disalurkan kepada pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu bercakap kepada media, Amy berkata, dia berharap sekolah tahfiz berkenaan dapat berkembang dan ditubuhkan di setiap negeri suatu hari nanti.

Kata Amy, untuk kemudahan di sekolah tahfiz, pihaknya memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM20,000 sebulan.

“Kami tidak mendapat tajaan mana-mana pihak semasa ia ditubuhkan, tetapi ada segelintir rakan yang bermurah hati untuk menderma.

“Kami tidak kisah berapa, suka hati orang itu nak derma, ada yang derma RM10 ada yang RM100,” katanya.

Cahaya Jiwa menampilkan 30 lukisan pelbagai saiz dengan harga antara RM5,000 hingga RM15,000.