Seorang bekas chef selebriti dari Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan melakukan seks luar tabii dengan seorang pemuda.

Muhammad Mustaqim Juri, 37, didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan pakir kereta di Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi kira-kira jam 2.30 petang pada 10 Disember lalu.

Muhammad Mustaqim yang menjadi finalis pertandingan Chef Selebriti 2007 didakwa memaksa mangsa - berusia 22 tahun - melakukan aksi seks dalam keretanya.

Dia kemudian pergi ke rumah pemuda terbabit di Taman Cempaka dan mengugut ibu mangsa pada hari sama.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan tertuduh dibenar diikat jamin RM40,000 dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah. Kes berkenaan akan disebut semula pada 17 Januari depan.

Muhammad Mustaqim, lapor The Star Online , bertemu dengan mangsa yang bekerja sebagai pembantu di sebuah gerai nasi lemak sebulan lalu.

Dia - dikatakan sering berulang-alik antara Singapura dan Johor Bahru - membawa mangsa ke kondominiumnya.

Media Singapura pula pernah melaporkan Muhammad Mustaqim yang kini duda dan mempjnyai tiga anak pernah dipenjara selama empat tahun kerana mendera seorang remaja lelaki di negara berkenaan.

Muhammad Mustaqim dikatakan bekerja sebagai chef secara sambilan, selain menjadi perunding kecantikan.