Pasangan sama cantik sama padan ini sering memuat naik gambar mesra mereka di media sosial, namun di sebalik itu, mereka sebenarnya sering ‘bergaduh.’

Pelakon Keith Foo atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 32, berkata dia memang bersikap terbuka terutama apabila membabitkan kerjayanya sebagai anak seni.

Untuk itu, Keith berkata, dia rela dikritik oleh isteri yang juga pengurusnya, Kim Raymond.

“Seandainya kami perlu bergaduh untuk membantu prestasi lakonan, saya tidak kisah.

“Bagi saya, pergaduhan itu adalah asas untuk menentukan kesesuaian tahap lakonan saya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini pada malam tayangan perdana filem Langit Cinta kelmarin.

Dalam filem itu Keith membawa watak Aliff yang berkahwin dengan perempuan kampung bernama Khadeja (Nur Fazura).

Perkahwinan itu bagaimanapun berlangsung tanpa restu itu dan mendapat tentangan hebat daripada bapa Aliff yang dilakonan Datuk Jalaluddin Hassan.

Sebulan saja lagi sebelum segalanya terjawab. Sejauh mana #PenantianCintaSejati #Suzana dan #Aliff dalam filem #LangitCinta yang akan berada DI PAWAGAM 7 JANUARI 2016 . Siapa yang korang #CintaSampaiLangit ? @sallywho @keithfoo @teamsitisaleha @keithfoocliqueofficial @keithfoo_lovers @keithfoo_intl_fanpage @damya_hanna @alaf.21 @astroshaw

A photo posted by Keith Foo Official (@keithfoo) on

Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi Khadeja selepas dia kehilangan Aliff dan suatu ketika Budiman (Farid Kamil) tampil menghulur cinta baru.

Langit Cinta adalah filem Osman Ali yang mahu mengangkat wanita sebagai individu yang kuat, cekal dan tabah.

Ia turut dibarisi pelakon Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Dian P Ramlee.

Filem itu akan mula ditayangkan di pawagam mulai 7 Januari tahun depan.

Sentiasa mahu terbaik

Untuk makluman, Keith dan Kim baru saja meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka baru-baru ini.

Pasangan itu dikatakan mendaftarkan perkahwinan mereka pada 21 Disember tahun lalu.

Keith dan Kim sudah 14 tahun mengenali satu sama lain dan keserasian itu mungkin membuatkan mereka senang untuk berbincang secara profesional dan melangkaui hubungan suami isteri.

Bagi pelakon yang popular dengan drama Ariana Rose itu, demi kepentingan bersama, 'konflik' dalam perkahwinan dianggap sesuatu yang boleh mengukuhkan perhubungan.

Dan dia tidak takut untuk membuka ruang bagi mengadakan sesi perbincangan secara terbuka dengan Kim kerana berasa ia sesuatu yang wajar dilakukan.

“Kim sentiasa mahu saya memberikan yang terbaik dalam lakonan, malah dia pula yang sering mencadangkan aksi yang sebaiknya dilakukan,” katanya.

Menurut Keith, setiap kritikan yang diberi Kim kepadanya diambil serius, malah berpendapat tiada yang salah jika pandangan mereka berbeza.

“Saya perlukan kritikan dan ia bagus.

“Jangan bagi pandangan positif saja kerana ia tidak membantu saya untuk belajar menjadi pelakon lebih baik.

“Saya sukakan pandangan lain, sama ada pandangan positif mahupun negatif kerana ia dapat memahirkan diri saya,” katanya.

Selain Malaysia Keith juga pernah membintangi beberapa filem Indonesia seperti Bidadari Jakarta (2010), Akibat Pergaulan Bebas (2011) dan Perempuan Di Rumah Angker (2012).

Di Malaysia pula sebelum Langit Cinta Keith berlakon dalam Perempuan Lindungan Kaabah (2014), Pilot Cafe (2015) dan Girlfriend Kontrak (2015).