Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan peruntukan kewangan untuk pemenang Anugerah Sastera Selangorkini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari berkata Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan menyalurkan peruntukan itu kepada Tourism Selangor untuk pembayaran kepada pemenang sebelum hujung tahun.

Amirudin dipetik sebagai berkata demikian oleh akhbar rasmi kerajaan negeri Selangorkini hari ini.

Ia selepas pemenang anugerah utama dan hadiah saguhati melahirkan rasa kecewa kerana mereka masih belum menerima hadiah wang tunai yang dijanjikan oleh kerajaan negeri.

Di majlis rasmi pada awal bulan ini, para pemenang hanya diberikan plak dan sijil.

Pemenang bagi setiap kategori dijanjikan hadiah utama RM5,000 manakala RM1,000 bagi hadiah sagu hati.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebagai berkata isu hadiah wang tunai itu sepatutnya diselesaikan Isnin lepas.

Begitu juga, Amirudin telah dilaporkan mengakui mungkin berlaku kesilapan teknikal, tetapi beliau yakin ia akan diselesaikan tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan sebagai respons kepada Malaysiakini , urusetia anugerah itu menjelaskan bahawa penyediaan hadiah itu memerlukan sedikit masa memandangkan beberapa prosedur dan tatacara kewangan yang perlu dipatuhi.