Istana Budaya: Kami tak pilih kroni
Pihak pengurusan Istana Budaya akan lebih berwaspada untuk memberi peluang kepada mana-mana produksi supaya tidak menjejaskan jadual persembahan pada masa akan datang.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani, kekosongan slot persembahan pada tahun depan bukan disengajakan.
“Lima produksi menarik diri di saat akhir dengan memberi alasan (mereka) mempunyai pelbagai masalah.
“Disebabkan perkara itu, terdapat kekosongan pada Januari dan Februari tahun depan,” katanya.
Mohamed Juhari ditemui semasa sidang media pengumuman teater komedi
Zombie La La La
arahan Erma Fatima (
gambar
) di Istana Budaya baru-baru ini.
Atas alasan itu juga, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani tampil menjelaskan mengapa pihaknya memberi ruang kepada produksi sama berulang kali.
Ia semuanya atas sebab tanggungjawab dan kepercayaan, katanya.
“Kami terpaksa meminta bantuan Erma Fatima untuk mengisi slot kekosongan itu.
“Ini sebab kami memberi laluan kepada orang sama setiap kali ada persembahan.
“Orang itu sama ada CTRA Production milik Siti Rohayah Atan atau Rumah Karya Citra Sdn Bhd Erma Fatima.
“Bukan saya memilih kroni, tetapi sebenarnya mereka menjadi pengganti di saat akhir,” katanya.
Babitkan 2 artis terkenal
Menurutnya, antara yang membatalkan persembahan itu adalah dua persembahan artis terkenal.
Muhamed Juhari turut menyatakan pihak yang membatalkan persembahan tidak mengikut prosedur yang betul.
“Mereka menarik diri begitu saja.
“Mereka tidak memaklumkan terlebih dahulu mahupun berbincang dalam mesyuarat,” katanya.
Bagaimanapun, Muhamed Juhari berkata, pihaknya tidak akan menyenaraihitamkan produksi terbabit.
Malah, ruang untuk mereka membuat persembahan sentiasa terbuka.
Teater Zombi La La La akan mengambil tempat dari 13 hingga 21 Februari 2016.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada produksi-produksi yang membatalkan persembahan mereka itu.

