'Iron Man' diampunkan sempena Krismas
Nasib menyebelahi pelakon Robert Downey Jr sempena Krismas apabila dia diampunkan sepenuhnya tanpa syarat atas kesalahan penyalahgunaan dadah yang pernah dilakukan pada 1990-an.
Media antarabangsa melaporkan, pelakon yang memegang watak utama filem Iron Man itu adalah antara 91 individu lain yang mendapat pengampunan daripada Gabenor California, Jerry Brown.
Selain pelakon berusia 50 tahun itu, kebanyakan yang mendapat pengampunan adalah pesalah kesalahan ringan bagi penyalahgunaan dadah.
Sebenarnya, pengampunan sebegitu sudah menjadi sebahagian daripada tradisi menjelang Krismas.
Menurut laporan dikeluarkan pejabat gabenor, mereka yang diampunkan sudah lama selesai menjalani hukuman.
Mereka juga tidak lagi terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah.
“Individu yang disabitkan kesalahan jenayah di California boleh memohon keampunan daripada gabenor.
“Pemohon harus menerima perintah mahkamah yang mengisytiharkan mereka sudah pulih dan menunjukkan kehidupan yang dijalani produktif dan mengikut undang-undang.
“Pengampunan tidak akan diperoleh melainkan mereka yang berhak,” menurut kenyataan itu.
Anak bongsu daripada dua beradik itu dilahirkan di Manhattan, New York.
Kerjaya Pelakon Lelaki terbaik bagi Anugerah Golden Globe (2010) itu mulai merudum dari 1996 hingga 2001.
Dia ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk kokain, heroin dan ganja.
Berulang alik ke program pemulihan
Downey berulang-alik menjalani program pemulihan dadah, namun tiada satu pun yang berjaya memulihkannya.
Bagaimanapun, selepas lima tahun bergelumang dengan noda, Downey dikatakan bebas dadah dan kembali meneruskan kerjayanya pada 2001.
Antara filem pernah dilakonkan oleh Downey seperti Gothika (2003), Kiss Kiss Bang Bang (2005), The Incredible Hulk (2008)) dan The Avengers (2012).
Menurut laporan itu lagi, Downey didapati bersalah pada tahun 1996 atas kesalahan menyembunyikan senjata di dalam kenderaan dan memandu di bawah pengaruh dadah.
Pelakon itu sudah menjalani setahun dan tiga bulan penjara , dua tahun parol dan hampir tiga tahun tempoh percubaan atas kesemua kesalahannya.
“Sejak dibebaskan, Downey sudah ‘menjelaskan hutangnya’ pada masyarakat.
“Dia menjalani kehidupan yang lebih baik dan berada di landasan benar, menunjukkan teladan yang boleh dicontohi dan mematuhi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

