Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak kisah apa saja, asalkan jangan jadi ahli politik. Begitulah pendirian juara program realiti Mentor musim ketiga, Black Hanifah yang bercerita tentang kerjaya dan masa depan anak pertamanya.

Kini sedang menunggu cahaya mata kedua, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 28 berkata jika boleh dia mahu Khaleef Dayyan, 11 bulan, menjadi juruterbang atau pemuzik.

“Untuk menggalakkan dia meminati bidang juruterbang, saya belikan dia permainan kapal terbang.

“Tetapi nampak gaya, dia lebih cenderung ke arah muzik kerana di rumah ada piano dan sejak dalam kandungan sudah terbiasa mendengarnya.

“Pemuzik juga boleh buat wang, yang penting pekerjaan yang mampu menjamin masa depan.

“Saya harapkan dia dapat memilih antara dua pekerjaan itu, jangan ahli politik,” katanya kepada Malaysiakini.

Black ditemui di sidang media program realiti TV Mentor Milenia di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences semalam.

Kandungan isterinya Naquia Yasirah, baru berusia dua bulan.

Namun, bagi Black, selepas dikurniakan Khaleef, persiapan untuk menyambut anak kedua dilihat lebih mudah.

“Kali ini lebih tenang untuk menyambut anak kedua berbanding dulu yang tiada pengalaman.

“Sekiranya kami mengetahui jantinanya lelaki, ia juga menyenangkan tugas kerana kami boleh menggunakan semula barangan yang ada seperti pakaian dan katil.

“Tetapi jika jantina bayi adalah perempuan, kami mungkin perlu tukar warna bilik kepada yang lebih lembut,” katanya.

Sikap anak sulung berubah

Kata Black, sejak kebelakangan ini, sikap anak sulungnya juga dilihat berbeza.

Khaleef menunjukkan perubahan yang tidak pernah dibuat sebelum ini, dia seakan sudah memahami dirinya bakal menjadi abang tidak lama lagi.

“Kami biasa memanggil dia abang.

“Dia sering tidur berbantalkan perut ibunya.

“Dan kadang-kala dia mencium dan mengusap perut itu biarpun masih belum pandai bercakap, tetapi dia seolah faham,” katanya yang menyifatkan perkhabaran mengenai anak kedua itu memberi hikmah besar buat dirinya.

Apa diidam jadi kenyataan

Tahun ini dianggap sebagai signifikan buat Black apabila beberapa perkara yang diidamkan menjadi kenyataan.

Sebelum bergelar sebagai penyanyi, Black akui dirinya sukar menerima satu pun tawaran pekerjaan walaupun menghantar sekurang-kurangnya 50 permohonan.

Dia pernah berniaga menjual ikan satu ketika dulu.

Tetapi, ia semua berubah dan tahun ini saja, selain Mentor Milenia, Black juga akan menjadi guru dalam rancangan Ceria Popstar.

“Saya idamkan untuk menghadapi situasi begini yang sibuk dengan kerjaya.

“Sudah lama saya mahu perkara yang ekstrem, iaitu mencabar minda dan luar biasa daripada hanya memberi persembahan dalam nyanyian.

Tambahnya, kegembiraan memperoleh perkara baru dalam hidup tidak akan disia-siakan, malah akan sentiasa mengajar dirinya supaya beringat.

“Tuhan susun jadual saya dan beri rezeki anak kedua lebih awal.

“Selepas saya tandatangani perjanjian tawaran berkenaan baru saya mengetahui isteri sedang hamil.

“Allah uji saya dengan bagi apa saya mahu.

“Tetapi saya tidak boleh terlalu bergembira, saya harus bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapi,” katanya.

Lihat Komen
ADS