Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas Dilwale, semuanya berubah buat Kajol
Diterbitkan:  Jan 2, 2016 1:27 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Jika sebelum ini pelakon Bollywood Kajol mahu mengurangkan aktiviti lakonan semata-mata kerana anak, kali ini dia mengubah pendirian untuk kembali aktif dalam dunia seni.

Media tempatan melaporkan, semuanya berubah selepas pelakon berusia 41 tahun itu membuat kemunculan semula dengan Datuk Shah Rukh Khan di layar perak menerusi filem romantik komedi Dilwale .

“Saya berharap dapat muncul di layar perak dan bekerja dengan lebih sekarang.

“Sudah lama saya menyepi selepas tayangan filem My Name is Khan (2010) kerana melahirkan anak lelaki.

“Kini dia sudah berusia lima tahun,” katanya.

Menurut Kajol, dia akan memulakan penggambaran filem terbarunya pada pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, atas faktor usia, pelakon yang berasal dari Mumbai, Maharashtra, India itu tidak merancang untuk berlakon dalam tiga filem sekali gus.

“Saya bukan seperti Shah Rukh Khan.

“Rasanya, tidak mampu untuk saya bekerja sekuat dia,” katanya.

Kahwin di kemuncak karier

Kajol mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon Ajay Devgn pada 24 Februari 1999.

Namun, perkahwinan Kajol dan Ajay mendapat kritikan hebat daripada pengamal media kerana aktres berkenaan berada di kemuncak kariernya ketika itu.

Bagaimanapun, Kajol menegaskan perkahwinan itu tidak akan menghentikan kerjayanya sebagai pelakon, sebaliknya ia cuma memperlahankan rentaknya sebelum ini.

Menerusi perkahwinan itu, Kajol dikurniakan anak perempuan Nysa dan lelaki Yug.

Selepas melahirkan anak sulungnya, Nysa pada 2003, Kajol hanya muncul dalam beberapa filem antaranya Fanaa , U Me Aur Hum , My Name is Khan , We Are Family dan Toonpur Ka Superhero .

Dan dia mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh masa kepada kehidupan berkeluarga selepas kelahiran anak bongsunya Yug.

Sebelum ini, dalam satu wawancara dengan IANS , Kajol pernah menyatakan punca utama dia meninggalkan kerjayanya sebagai seorang pelakon adalah demi menumpukan perhatian pada anak yang sedang membesar.

“Saya tidak melahirkan mereka semata-mata untuk meninggalkan mereka dan keluar bekerja sepanjang hari.

“Saya bukan individu seperti itu,” katanya.

Mungkin dibesarkan dalam keluarga yang juga penghibur membuatkan darah seni di dalam diri Kajol tidak terhenti begitu saja.

Ibunya Tanuja, adalah pelakon dan mendiang bapanya Shomu Mukherjee, pengarah dan penerbit filem.

Ternyata, selepas membintangi Dilwale, pendapat pemenang Anugerah Padma Shri itu terus berubah.

Desakan Nysa

Dilwale membuat aktres itu begitu teruja untuk kembali aktif berlakon memandangkan kedua-dua anaknya sudah besar.

Kajol berkata, anaknya Nysa adalah individu yang mendesaknya untuk mengubah pendirian itu.

Baginya, pengaruh ibu bapa yang bekerja ke atas anak-anak adalah penting.

“Secara jujur, dengan melihat ibu bapa bekerja, mungkin anak-anak akan dapat melihat kepentingan sebuah kerjaya.

“Ini juga khususnya kepada anak perempuan, selepas melihat ibu mereka bekerja, mereka dapat menilai sebuah kebebasan dan perkembangan diri.

“Etika bekerja juga harus difahami kerana bukan hanya tugas lelaki mencari nafkah untuk keluarga, itulah masanya peranan wanita mengambil tempat dalam kesetaraan gender,” katanya.

Lihat Komen
ADS