Seorang pengarah Singapura menarik balik filemnya daripada sebuah festival bagi meraikan hubungan Malaysia-Singapura bulan ini.

Langkah itu diambil selepas Lembaga Penapisan Perfileman mengarahkannya meminda sebuah babak atas alasan mengancam keselamatan negara.

Tan Pin Pin yang mengarahkan Singapore Gaga berkata, lembaga penapisan mahu babak yang menggunakan perkataan “binatang-binatang” dipadam daripada filem berkenaan.

“Padam sebutan bahasa Melayu 'binatang-binatang' dan sarikata bahasa Inggeris 'animals' yang berdwi maksud,” menurut arahan yang dimuat naik ke Facebook.

Arahan itu juga menyebut penggunaan perkataan itu bercanggah dengan garis panduan penapisan filem Bahagian II:2.1.1 (v).

Ia berkaitan “dialog, adu domba yang boleh menimbulkan keraguan dan keresahan di kalangan rakyat dan akhirnya menggugat keselamatan, ketenteraman awam dan ketahanan nasional”.

Festival filem itu dinamakan Festival Titian Budaya.

Tan menjelaskan babak tersebut menggambarkan seorang watak menghiburkan kanak-kanak dengan mengusik mereka dengan memanggil ‘binatang-binantang’.

“Penapisan filem (bertindak) sewenang-wenangnya dan tidak masuk akal, (kononnya) ancaman keselamatan,” katanya.

[Baca berita asal]