Gimik makan tuan buat Tommy Lee
Tommy Lee, pemain dram kumpulan Motley Crue mungkin tidak menyangka persembahan yang sepatutnya memukau penonton berakhir dengan adegan mencemaskan apabila dia tergantung secara tidak sengaja di roller coaster.
Kejadian itu berlaku ketika Tommy, 53, mengadakan Cruecifly iaitu persembahan dram solo dengan menaiki roller coaster pada ketinggian 18.28 meter (60 kaki) di udara.
Kenderaan dinaiki Tommy tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan badannya terbalik dari atas ke bawah.
Semasa krew teknikal berusaha memanjat struktur gergasi untuk menurunkan bintang rock itu, Tommy sempat berkata sesuatu.
"Nampak gayanya rolller coaster ini rosak. Turunkan saya.
"Sungguh tidak percaya perkara ini berlaku di saat persembahan malam terakhir,” katanya.
Kalau kena dengan gaya, insiden itu boleh dikatakan menjadi 'ucapan' selamat tinggal paling bersejarah buat Motley Crue.
Motley Crue Says Goodbye di konsert terakhir Bittersweet menjadi persembahan penutup tirai buat band berkenaan selepas 34 tahun berdiri utuh sebagai kumpulan hard rock dan heavy metal.
Konsert di Los Angeles itu adalah sebagai sebahagian daripada siri jelajah terakhir Motley Crue termasuk beberapa tempat seperti Newcastle, Manchester, Birmingham dan London.
Konsert itu juga diadakaan di ambang sambutan tahun baru.
Sebenarnya, Tommy memang suka melakukan gimik di hampir setiap persembahan solonya.
Selain Tommy, Motley Crue dianggotai oleh basis Nikki Six, gitaris Mick Mars dan vokalis Vince Neil.
Sebaik set kit dram berkenaan berjaya dibaiki dan Tommy memanjat turun, Mick mula memetik gitar.
Sambutan tahun baru terlewat kira-kira 3 minit akibat insiden berkenaan, tetapi band berkenaan tetap meneruskannya sambil menghiburkan penonton dengan lagu Dr feel good dari album tahun 1989.

