Dibelenggu masalah rambut dan bimbang mengalami masalah kebotakan, penyanyi dangdut Inul Daratista memilih untuk tampil dengan rambut palsu.

Inul atau nama asalnya Ainur Rokhimah, 36, berkata, rambutnya kini kelihatan seperti penyapu akibat sering menukar gaya penataan rambut.

“Disebabkan masalah rambut, kini saya terpaksa menjalani rawatan spa.

“Sekarang saya kerap menggunakan rambut palsu, tetapi jenis yang asli,” katanya.

Menurut media tempatan, ibu anak satu itu kerap berasa sakit apabila mencuba kaedah rambut sambungan.

Kata Inul, pemakaian rambut palsu mempunyai kelebihan berbanding rambut sambungan.

Kesan daripada memakai rambut sambungan itu seolah ditarik-tarik dan dikhuatiri akan mengakibatkan kebotakan sebelum sampai waktunya.

“Rambut sambungan hanya mendatangkan kesukaran.

“Tetapi kalau rambut palsu yang asli, sesuai berbuat apa saja, malah boleh dirawat selepas digunakan.

“Kalau sering bertukar gaya sekalipun, rambut tidak rosak,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan gaya goyang ngebor itu mengakui sudah mengumpul dan memiliki ratusan rambut palsu pelbagai gaya sejak 2003.

Namun, jumlah itu kian bertambah dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Dan untuk melengkapkan penampilannya, penyanyi Buaya Buntung itu sanggup memesan tempahan bukan saja dari Solo dan Semarang malahan Korea Selatan.

“Jumlah rambut palsu sudah terlalu banyak.

“Ada 600 rambut palsu, ada jenis kerinting dan ada sekotak untuk yang pendek.

“Disebabkan jumlah yang terlalu banyak, saya sudah boleh membuka kedai jualan rambut palsu.

“Kalau memesan produk dari Korea Selatan tidak boleh sedikit, minimum adalah 20,” katanya.