Takdir akhirnya berada dalam genggaman walaupun pada awalnya pelakon filem Ola Bola , J C Chee tidak berapa yakin dapat memegang watak utama.
Chee, 30, yang memegang watak Chow Kok Keong atau Tauke menjelaskan dia bimbang apabila tidak melihat dirinya mudah diberi kepercayaan membawa watak berkenaan.
“Saya pergi sesi ujian bakat pertama, tetapi harapan terasa sememangnya tipis.
“Dan pada uji bakat kedua, saya diminta bercakap dalam lima bahasa pula. Ia menambahkan kekhuatiran saya.
“Seterusnya, saya perlu menunjukkan bakat bermain bola sedangkan sudah saya lama tidak turun padang,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas tayangan perdana filem Ola Bola di Kuala Lumpur semalam.
Ola Bola sebuah filem mengenai zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan yang pernah layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Soviet Union.
Bagaimanapun pasukan Malaysia tidak menyertai temasya terbesar dunia itu sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan.
Permulaan baik
Menurut anak kelahiran Chuping, Perlis itu, dia membuat keputusan untuk mencuba nasib selepas mendapat tahu ada kekosongan untuk watak utama filem.
Kekosongan itu, kata Chee, dikatakan gagal terisi selama setahun.
"Jadi saya fikir tidak salah sekiranya saya pergi ke sesi uji bakat,” katanya.
Chee dibesarkan dalam persekitaran didominasi komuniti Melayu. Keadaan itu secara tidak langsung menambah ‘pakej’ yang ada padanya sehingga dia fasih bertutur dalam loghat utara.
Bagi Chee, kelebihan itu tidak harus dipersiakan, malah menganggap ia boleh membuka peluang lebih luas untuknya dalam industri perfileman Melayu.
Namun, Chee akui, sebelum menjadi terkenal dalam bidang yang diceburi sekarang, masih banyak yang perlu dikuasai terutama penggunaan bahasa Melayu.
“Masyarakat Cina di Perlis tidak ramai.
“Saya memang bergaul dengan semua kaum, tetapi kebanyakannya Melayu. Namun begitu saya akui, penguasaan bahasa Melayu saya masih perlu dipertingkatkan.
Biarpun dalam Ola Bola tidak banyak dialog untuknya, Chee berpendapat ia tetap permulaan baik.
Filem yang berdurasi hampir dua jam itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 28 Januari ini.
Bukan kali pertama
Ola Bola diarah Chiu Keng Guan yang sebelum ini pernah menggarap filem pecah panggung, The Journey , yang mencatat kutipan RM17.28 juta.
Ia turut menampilkan pelakon seperti Bront Palarae, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang, Lim Jian Wen dan Marianne Tan Poh Yee.
Sebelum membuat keputusan berhijrah ke bidang lakonan, Chee adalah seorang model.
Namun, Ola Bola bukan pengalaman pertama Chee sebagai pelakon.
Dua tahun lalu, Chee pernah membintangi filem When Geeks Meets Serial Killer dan kini mengembangkan karier lakonannya di Taiwan dan China.
Sesuai dengan tema yang diketengahkan, Chee memasang harapan agar Ola Bola dapat menjadi inspirasi masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Istimewanya cerita ini adalah ia bukan hanya mengenai bola sepak.
“Selain menonjolkan semangat kesukanan, saya berharap ia dapat diterima umum dan menyentuh hati penonton,” katanya.
