Sanjay Dutt bebas bulan depan
Aktor Bollywood yang dipenjara atas kesalahan terlibat dalam aktiviti pengganas, Sanjay Dutt, disahkan bakal bebas pada 25 Februari ini.
Ejen pelakon itu berkata, Dutt, 56, sudah menghabiskan 50 daripada 60 bulan hukuman penjara yang ditetapkan Mahkamah Agung India sebelum ini.
"Dutt menunjukkan kelakuan baik di dalam penjara dan faktor itu diambil kira pihak berkuasa untuk membebaskannya sebelum tempoh sebenar berakhir," katanya.
Dutt kini ditahan di Pejara Pusat Yerawada di Maharashtra, India.
Sebelum ini Dutt dituduh terbabit dalam konspirasi siri serangan bom yang menggegarkan Mumbai pada 1993.
Semasa perbicaraan, aktor filem Mission Kashmir itu didakwa menjadikan rumahnya sebagai tempat transit senjata daripada dua penjenayah.
Sebahagian besar daripada senjata itu, kata pendakwa, digunakan dalam serangan pengganas berkenaan.
Dutt ditahan kali pertama pada April 1993 tetapi dibenarkan diikat jamin pada Oktober 1995 sebelum ditangkap semula pada Disember tahun berkneaan.
Sejak itu Dutt menjalani siri penahahan dan pembebasan berkali-kali sehinggalah pada Mac 2013, Mahkamah Agung India mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang ditetapkan sebelum itu.
Peguam Dutt, Hitesh Jain, turut mengesahkan tarikh pembebasan berkenaan kepada media semalam.

