Gara-gara terlalu obses kepada penyanyi kesayangannya seorang lelaki dihukum penjara 84 hari semalam.

Media melaporkan Zachary Self, 19, ditemui sedang berbaring di atas tikar dalam keadaan mencurigakan oleh pekerja yang membaiki rumah Lana Del Rey di Malibu, California AS.

Kejadian itu dilapor berlaku November tahun lalu.

Menurut media, selepas menyedari kehadirannya dikesan pekerja tersebut Self melarikan diri dari rumah Lana namun beberapa petunjuk yang ditinggalkannya membantu polis mengesan sebelum menangkapnya.

Dokumen mahkamah menyatakan Self mencerobohi rumah penyanyi lagu Blue Jeans itu kerana dipengaruhi halusinogen (sejenis dadah yang menyebabkan halusinasi).

Self juga dikatakan menghidapi masalah gangguan bipolar.

Dia kemudian mengaku salah di mahkamah.

Self dikesan polis dan ditangkap pada Disember berdasarkan beberapa gambar dimuat naik di media sosial.

Guna saluran mahkamah

Dalam imej berkenaan, Self dilihat bergambar di balkoni kediaman Lana.

Polis turut menemui beberapa ungkapan pada gambar menunjukkan kononnya Self "mengikat tali pertunangan dengan bidadari bumi Lana Del Rey".

Selain dihukum penjara, mahkamah meletakkan Self dibawah pengawasan selama lima tahun, selain menjalani rawatan pemulihan selama 12 bulan.

Self juga diarah mahkamah supaya tidak mendekati Lana - penyanyi yang pernah memenangi anugerah Grammy - selama 10 tahun.

Kisah Lana dan peminat fanatiknya seakan tidak dapat dipisahkan.

Awal bulan ini, penyanyi itu mendapatkan perintah mahkamah bagi menyekat dua peminat wanita atas alasan mereka mahu membunuhnya.

Lana dalam laporannya mendakwa kedua-dua wanita yang berasal dari Russia itu adalah antara pengendap yang obses sehingga boleh mengancam keselamatannya.

Bukan itu saja. Dia mendakwa ada peminat fanatik sanggup tidur di luar kawasan rumah, meninggalkan berpuluh surat dalam peti surat dan mengugut akan mencederakannya.