Agnez Mo beralah hadapi kejahilan bahasa
Diserang kiri dan kanan, atas dan bawah, Agnes Monica kini mengambil pendirian untuk enggan melayan kerenah netizen yang mengecam baju jarang bertulisan Arab dipakainya.
Media melaporkan kelmarin, selebriti yang mesra disapa Agnez Mo itu tampil mengenakan busana hitam tertera perkataan al-Muttahidah di sebuah konsert ulang tahun ke- 21 stesen televisyen Indosiar.
Al-Muttahidah membawa maksud persatuan.
Dan sejurus selepas wanita yang sering tampil berimej seksi itu beraksi di pentas - mungkin tanpa menyelidik makna di sebalik perkataan itu - Agnez terus mendapat kecaman umum.
Namun, Agnez dengan cepat mengakui kekhilafannya.
“Kamu nak tahu yang sebenarnya?
“Memang salah saya dan sekarang baru menyedari situasi ini membuat saya terperangkap dalam perdebatan bodoh.
“Kesan dan memaafkan. Buruk sangka bukanlah diri saya. I am out ,” tulisnya dalam Twitter.
Agnez yang dilahirkan di Jakarta adalah penyanyi berketurunan Cina serta beragama Kristian.
MUI juga tidak keberatan
Dia adalah anak bongsu kepada bekas pemain tenis wanita, Jenny Siswono dan bapanya Ricky Muljoto adalah bekas pemain bola keranjang.
Dalam pada itu, penyanyi yang mempopularkan lagu Matahariku itu turut mengulang tweet pengguna akaun Indra Aziz yang menyatakan dia lebih bimbang dengan pihak yang tampil dengan pakaian Islamik tetapi bertindak sebagai pengganas.
â¤ď¸ https://t.co/YKXtzyfGqv
— AGNEZ MO (@agnezmo) January 13, 2016
Dalam ulang tweet itu, Agnez, 29, turut memuat naik simbol hati seolah menyetujui pendapat Indra.
“Saya lebih bimbang dengan pengganas yang mengaku dan berpakaian seperti Islam berbanding pakaian Agnez.
“Tapi mengapa kebanyakan masyarakat diam saja?” katanya.
Sementara itu media melaporkan Ketua Dakwah Majlis Ulama Indonesia, Cholil Nafis menyatakan perkataan Arab pada baju berkenaan tidak membawa maksud yang menghina Islam.
Tegas Cholil, apa yang ditegah penggunaannya adalah perkataan yang diambil dari ayat suci al-Quran.
“Tulisan itu bukan diambil dari ayat al-Quran.
“Saya tidak sempat menonton acara itu tetapi kalau dipersoalkan, bahasa Arab pada pakaiannya hanya perkataan biasa.
“PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) juga al-Muttahidah . Justeru, tidak mengapa jika hendak digunakan,” katanya.

