Penyanyi lagu American Pie Don Mclean ditahan di Maine, Amerika Syarikat atas tuduhan melakukan keganasan rumah tangga.

Menurut laporan media antarabangsa, Mclean atau nama asalnya Donal McLean III,70, ditahan polis selepas mendapat panggilan kecemasan awal pagi semalam.

Bagaimanapun, laporan itu tidak mendedahkan sama ada isteri Mclean, Patrisha atau dua anaknya berada di kediaman mereka ketika kejadian.

Mclean dimasukkan ke penjara daerah Knox tetapi dibebaskan pada petang hari sama, selepas membayar ikat jamin sebanyak AS$10,000 (RM43,885).

Dalam satu wawancara Mclean sebelum ini mendedahkan, manuskrip asal American Pie berjaya dilelong pada nilai AS$1.2 juta (RM5.3 juta) tahun lalu.

“Usia saya mencecah 70 pada tahun ini.

“Saya mempunyai isteri dan dua anak yang jelas tidak berminat dengan perniagaan seperti ini.

“Sebab itu, saya mahu memberikan yang terbaik untuk mereka, kerana sudah sampai masanya,” katanya.

Selain pernah menduduki carta nombor satu dalam senarai muzik, lagu ikonik itu juga mencatat sejarah dalam irama Rock.

Lagu klasik itu ditulis berdasarkan kematian penyanyi rock Buddy Holly, Ritchie Valens dan J.P Richardson dalam nahas kapal terbang pada 3 Februari 1959.

Mclean terkenal kerana melabel kejadian itu sebagai “hari muzik mati”.