Miss Universe 2016: Kiran janji komitmen 130%
Pelajar jurusan pergigian dari Selangor, Kiran Jassal, muncul juara pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2016.
Kiran yang hanya berumur 20 tahun, dinobatkan sebagai pemenang pertama di majlis yang diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan malam tadi.
"Saya berasa kemenangan ini merupakan suatu rahmat, saya kehilangan kata-kata. Setiap finalis telah memberikan yang terbaik, dan saya tidak sangka dinobatkan sebagai juara.
" Catwalk bukanlah yang terbaik untuk saya ketika sesi pemilihan yang awal. Sejak itu, saya telah bertungkus lumus setiap hari untuk melakukan yang terbaik, dan syukurlah, segala latihan membuahkan hasil.
"Mulai hari ini, saya akan memberikan komitmen lebih daripada 130 peratus sebagai persediaan mewakili Malaysia," Kiran berkata kepada media selepas majlis itu.
Carey Ng, selaku pengarah organisasi Miss Universe Malaysia turut menzahirkan rasa bangganya kerana Miss Universe Malaysia kali ini berjalan dengan lancar.
"Ini merupakan kali kedua saya menganjurkan pertandingan ini sebagai pengarah kebangsaan dan sangat berpuas hati. Kiran, wakil Malaysia kita yang baru akan mewakili negara di persada antarabangsa.
"Kita mempunyai masa yang agak panjang untuk membuat persediaan untuk Kiran sebelum bertanding di peringkat antarabangsa," ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Miss Universe pada 2013.
Malaysia 15 terbaik dunia
Carey juga memberitahu media bahawa francais organisasi Miss Universe Malaysia yang kini di bawah pengurusan IMG Models yang juga menguruskan penganjuran di Filipina.
"Kita akan bekerjasama dengan gigih bersama IMG Models untuk memastikan Kiran bersedia dalam arena Miss Universe akhir nanti dan saya berharap beliau akan dapat memasuki senarai 15 finalis terbaik," katanya.
Ketika diminta mengulas peluang Kiran, Carey berkata, usia bukanlah penghalang untuk wakil negara menyerlahkan potensinya.
Pertandingan malam tadi dihakimi juri Miss Universe Malaysia 2003 dan selebriti hos Elaine Daly, pelakon Awal Ashaari, pereka fesyen Sonny San, pengasas Ceres Jewels Datuk Sri Navneet Goenka, pengusaha hartanah Datuk Wira Rahadian Mahmud Khalil, pereka kreatif Shawn Loong, pelatih gaya terkemuka Jeff Lee, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas KO Skin Specialist Datuk Dr Ko Chung Beng dan selebriti penggayaan Zaihani Mohd Zain.
Berikut adalah keputusan Miss Universe Malaysia 2016:
- Tempat pertama - Kiran Jassal, 20 (Selangor)
- Tempat kedua - Dhivya Dhyana, 25 (Kuala Lumpur)
- Tempat ketiga - Lina Soong, 25 (Negeri Sembilan)
- Tempat keempat - Swarna Naidu, 18 (Pulau Pinang)
- Tempat kelima - Nisha Sema, 22 (Pulau Pinang)
Anugerah subsidiari:
- Miss Online Personality - Alicia Tan
- Miss Congeniality - Nisha Sema
- Miss Talent - Lina Soong
- Miss Body Beautiful - Swarna Naidu
- Miss Photogenic - Dhivya Dhyana
- Miss Mydentist Winning Smile - Swarna Naidu, Kiran Jassal

