Filem bukan punca ganas tapi kasta, ekonomi
Ketika banyak pihak menyalahkan filem dan drama sebagai punca keganasan - termasuk kes rogol - semakin berleluasa di India penulis lirik veteran Javed Akhtar sebaliknya ada pendapat lain.
"Keganasan kita berasaskan kasta dan ekonomi.
"Saya bukan menafikan pengaruh filem, tetapi saya menyatakan kepada anda supaya kita tidak melakukan kesimpulan salah selepas gagal mengatasi dan membetulkan masalah negara," katanya di majlis pertemuan penulis di Kolkata.
Sebelum itu Javed ditanya peserta mengenai kesan dibawa watak "anak muda berdarah panas" Amitabh Bachchan (
gambar
) pernah dicipta Javed dan seorang lagi tokoh perfileman India, Salim Khan.
Kata Javed menuduh filem sebagai punca kejadian rogol adalah tanggapan salah.
"Tiada sebarang kajian sosiologi atau kaji selidik untuk mengesahkan bagaimana sesebuah filem mempengaruhi masyarakat," katanya.
Untuk mengukuhkan hujahnya Javed berkata, di beberapa tempat yang kurang memiliki panggung wayang, kadar keganasan tetap tinggi.
Kena akui kenyataan
Justeru, katanya bagaimana ada pihak mendakwa filem menyebabkan keganasan berleluasa dalam sesebuah masyarakat.
Untuk menjawab persoalan itu Javed, 71, berkata sebenarnya pertembungan peradaban antara masyarakat kesan daripada penghijrahan memberi kejutan budaya kepada sesetengah pihak.
"Di bawah langit yang sama, orang yang datang dari kawasan ekonomi berbeza bertemu, bergaul dan mencetuskan konflik," katanya.
Sebagai contoh, kata penulis skrip (bersama Salim Khan) filem seperti Andaz dan Haathi Mere Saathi itu, seorang lelaki dari pekan kecil atau kampung yang biasanya melihat wanita dari jarak jauh akan mengalami kejutan jika berada di kota raya besar.
"Tiba-tiba dia melihat wanita lain daripada biasa dilihatnya. Ada wanita yang berdikari, berkerjaya sendiri dan sebagainya.
"Rogol bukan sekadar isu seksual sebaliknya kadang-kadang didorong oleh kemarahan yang terpendam terhadap masyarakat.
"Kejadian begitu kita salahkan filem. Masalah ekonomi dan sosial pun kita salahkan filem.
"Kita perlu akui kenyataan. Masyarakat yang mencipta filem dan penerbit hanya mengikut keadaan," katanya.

