Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Desy Ratnasari Gabenor Jakarta 2017?
Diterbitkan:  Feb 1, 2016 3:42 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Penyanyi lagu Tenda Biru, Desy Ratnasari, adalah antara nama dipertimbangkan Parti Amanat Nasional (PAN) untuk disenaraikan sebagai calon Gabenor Indonesia dalam pemilihan pada tahun depan.

Jika ia menjadi kenyataan, Desy, 42, bakal mencabar penyandang sekarang yang popular, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih mesra disapa sebagai Ahok.

Ketua Umum PAN Zulkifli Hasan berkata partinya meneliti senarai nama dalaman dan luaran untuk diletakkan dalam pilihan raya memilih ketua kerajaan tempatan pada 2017.

Turut diteliti, kata Zulkifli, ialah Datuk Bandar Bogor, Bima Arya dan bekas pelawak yang kini menjadi ahli parlimen, Eko Patrio.

"Kami ada ramai calon berkelayakan, termasuk di kalangan kader wanita," katanya semalam.

Ahok ( gambar ) adalah anak kelahiran Belitung dan berketurunan Cina. Dia mula mentadbir Jakarta selepas gabenor ketika itu Joko Widodo memenangi pilihan raya presiden.

Kini berusia 49 tahun, Ahok terkenal dengan sikap bersahaja dan berterus terang.

Pernah menganggotai parti Golkar dia kini tidak menyertai mana-mana parti selepas tidak sehaluan dengan kepimpinan Gerindra.

Indonesia bukan saja mengamalkan pilihan raya untuk memilih ahli parlimen malah mempraktikkan pemilihan langsung untuk jawatan presiden, naib presiden hingga ke ketua kampung.

Selain menyanyi Desy juga dikenali sebagai model, pengacara dan pelakon.

Kata Zulkifli PAN belum membuat keputusan muktamad mengenai calon yang akan dikemukakan nanti namun mengakui turut mengambil kira nama di luar parti.

Antara mereka ialah Datuk Bandar Bandung, Ridwan Kamil.

Lihat Komen
ADS