Bagi Halle Berry filem yang keluar dari Hollywood belum cukup jujur kerana ia sekadar menggambarkan kepura-puraan bukan saja kepada dunia malah di kalangan penggiatnya sendiri.

Pemenang anugerah Oscar itu berkata kepura-puraan berkenaan berlaku kerana sesetengah pihak dalam industri perfileman mengabaikan kepentingan pembabitan kumpulan kulit berwarna dalam budaya AS.

"Bandar raya kita dipenuhi orang berkulit hitam dan perang. Dan berkali-kali filem yang dirakamkan di Chicago, New York, Atlanta — ia adalah bandar raya metropolitan — mereka mengetepikan masyarakat bukan kulit putih," katanya di California semalam.

Halle menyatakan pandangannya itu dalam perbualan dengan ejennya, Kevin Huvane di sebuah program kepemimpinan.

Kenyataan itu dibuat menjelang majlis Anugerah Academy pada 28 Februari ini. Beberapa tokoh perfileman kulit hitam sudah menyatakan hasrat mereka memboikot acara berprestij itu kerana penganjur tidak memberi ruang mencukupi kepada penggiat kulit berwarna.

Academy kali ini adalah yang kedua menampilkan semua calon berkulit putih.

Halle satu-satunya akters berkulit hitam pernah memenangi anugerah Oscar bagi pelakon wanita terbaik melalui filem Monster's Bal l pada 2001.

Kata Halle kegagalan industri hiburan Hollywood memberi ruang kepada penggiat bukan berkulit putih membayangkan niat tidak baik mereka.

Justeru, katanya, produk dari Hollywood menjadi tidak jujur.

"Saya rasa apabila kita cuba mempertahankan tanggungjawab dan mencabar diri sendiri untuk jujur, bercerita secara jujur, kemudian masyarakat kulit berwarna akan wujud dengan berdaya saing.

"Pembabitan dan kepelbagaian dalam filem adalah hasil daripada kejujuran," katanya.

Selepas memenangi Oscar kira-kira 15 tahun lalu, Halle berkata, kejayaannya tidak menyebabkan lebih ramai wanita bukan kulit putih dipaparkan sebagai watak utama dalam filem.