Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Sara baru' sedia hadapi tohmahan 'Sara lama'

Aktres Sara Ali yang mulai berhijab pada 1 Januari lalu sudah bersiap siaga dengan kemungkinan dihujani kritikan dan cacian andainya umum masih dapat melihat dia berpakaian seksi dalam telefilem yang bakal ditayangkan bulan ini.

Sara, 25, berkata ada beberapa adegan yang memperlihatkan dirinya tampil seksi dalam telefilem Beringin yang sepatutnya ditayangkan pada tahun lepas.

Beringin sepatutnya sudah menemui penonton pada tahun lepas, iaitu ketika saya belum berhijab.

“Tetapi apakan daya, hal itu berlaku di luar bidang kuasa saya.

“Syarikat televisyen ingin menayangkan telefilem itu pada bulan ini pula,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan syarikat naungannya Paranormal, di Damansara semalam.

A photo posted by Sara Ali (@sararitory) on

Sara mula berasa dia perlu melaksanakan nawaitunya yang sudah lama terpendam sejak tahun penghujung lepas bagaimanapun ia hanya berlaku pada 31 Disember lalu apabila dia keluar rumah semata-mata kerana ingin membeli tudung.

Katanya, dia ingin memulakan hari baru di tahun baru dengan berhijab.

Walaupun begitu, proses 'perubahan' itu sudah berlaku tetapi secara sedikit demi sedikit, termasuk daripada aspek tingkah laku hingga meninggalkan "perkara tidak baik".

Ada nampak bahu

Dalam tempoh itu juga, Sara hanya menantikan waktu sesuai sebelum melaksanakan impiannya bertudung.

"Hidayah yang diterima ini sebolehnya akan dilaksanakan dengan hati yang bersungguh," katanya.

Memakai hijab, kata Sara, adalah satu perubahan yang amat besar buat dirinya.

“Dengan mengambil keputusan berkenaan, sudah jelas saya meletakkan maruah saya pada kedudukan tinggi.

“Kalau sekejap buka dan sekejap tutup, mana saya nak letakkan maruah itu?” katanya.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini hari ini mendapati satu akaun Twitter yang menggunakan namanya, HeySaraALi, agak menarik perhatian juga.

Ketika Sara menyatakan kesungguhannya berhijab, gambar profil pada akaun berkenaan masih memaparkan wajahnya 'yang lama'.

Gambar berwarna hitam dan putih itu memperlihatkan imej Sara tidak berhijab dan sisi atas bahagian bahunya kelihatan tanpa sebarang kain.

Malaysiakini sudah menghantar mesej kepada Sara untuk mendapatkan penjelasan dan masih menunggu respons daripadanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS