Alyah doakan pencuri
"Moga Allah berikan kau hidayah," kata penyanyi Alyah mendoakan pencuri yang melarikan pelbagai barang miliknya malam semalam.
Alyah yang juga isteri kepada komposer terkenal Datuk Ramli M S menyatakan, dia reda dengan takdir yang menimpa dirinya.
Tidak seperti sesetengah orang yang berdoa untuk keburukan orang lain, Alyah sebaliknya memohon tuhan memberi petunjuk kepada individu yang melakukan jenayah terhadapnya.
"Semoga Allah SWT berikan kau hidayah dan bukakan pintu hati kau untuk kembali ke pangkal jalan...." tulisnya di Instagram hari ini.
Bersama doa itu adalah sekeping gambar laporan polis yang dibuatnya berhubung kecurian berkenaan.
Sementara itu Bernama melaporkan Alyah kehilangan beg tangan berisi beberapa barangan termasuk dokumen peribadi, dua telefon bimbit serta kunci kereta selepas rumah ibunya di Jalan Taat, Kampung Melayu, Gelang Patah Johor dipecah masuk pagi semalam.
A photo posted by @£¥@8 (@alyah81) on
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Noor Hashim Mohamad yang mengesahkan kejadian terbabit berkata penyanyi berkenaan membuat laporan mengenai kejadian itu pada 10.30 pagi semalam, di Balai Polis Gelang Patah.
"Berdasarkan laporan, ketika kejadian, rumah (ibu) mangsa sedang dalam pembinaan, ubah suai sekali gus memudahkan penjenayah memasukinya tanpa disedari. Beg mangsa diletakkan di atas meja dan dipercayai telah diambil penjenayah," katanya yang dihubungi hari ini.
Noor Hashim berkata pihaknya akan melakukan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Sementara itu, Alyah atau nama sebenarnya Datin Noor Hasliah Abu Hasan, 35, turut memuat naik catatan berkaitan kejadian terbabit menerusi laman instagramnya, alyah81, malam tadi.
Menurut catatan itu, kejadian tersebut berlaku ketika anggota keluarga mereka sedang tidur dan kehilangan beg berkenaan disedarinya pada waktu subuh pagi semalam.

