Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Siapa kata konsert di Istana Budaya yang kadang-kadang tidak mendapat sambutan kerana penonton kini berdepan masalah kewangan?

Buktinya untuk konsert Richard Clayderman yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), String Ensemble Live in Istana Budaya, penganjur berani meletakkan harga sehingga RM2,500 bagi sekeping tiket.

Malah pada awalnya harga tiket yang dicadangkan ialah RM3,000.

Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya tidak pernah meletakkan harga sedemikian sebelum ini.

"Terkejut juga bila dengar harga tiket yang mencecah hingga RM2,500.

"Bagi saya, ini kelebihan yang terletak pada kuasa pembeli apabila membawakan nama besar seperti Richard," katanya ketika ditemui di sidang media di Istana Budaya semalam.

Bukan itu saja harga tiket yang dijual.

Jika mahu menyaksikan persembahan Clayderman pada harga yang lebih rendah, harga tiket paling murah ialah RM70.

Pemain piano terkemuka dunia itu dijadual beraksi selama 90 minit di Istana Budaya pada 31 Mac dan 1 April depan.

Diiktiraf sebagai pemain piano paling berjaya di dunia oleh Rekod Dunia Guinness, anggaran hasil jualan rekod Clayderman sehingga 2006 mencecah 150 juta dengan 267 album emas dan 70 album platinum.

Melodi yang dirakam Clayderman pula lebih daripada 1,300 lagu.

Kata Juhari, kehadiran Clayderman - biarpun perlu menyediakan perbelanjaan besar untuk konsert berkenaan - dapat mengangkat nama Istana Budaya dalam peta dunia hiburan.

Konsert itu dibawakan oleh BCL Entertainment dan Yayasan Kepimpinan Johannian.

Dua puluh peratus daripada hasil kutipan tiket konsert berkenaan akan disalurkan Yayasan Kempimpinan Johannian untuk melaksanakan program Wind Orchestra.

Tiket berharga RM70, RM100, RM400, RM500, RM800, RM1000 dan RM2,500 boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.AirAsiaRedTix.com.

Lihat Komen
ADS