Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jackman serik diancam 'tahi lalat'
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 10:51 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Tidak berbangga dengan kesilapan, malah mengambil iktibar ke atas perkara yang berlaku dan mahu orang lain tidak mengalami apa yang dilaluinya.

Justeru pelakon Hugh Jackman menggesa orang ramai jangan mengabaikan penggunaan krim pelindung sinaran matahari - bukan demi kecantikan sebaliknya mengelak kanser kulit.

Bukan itu saja, bintang siri filem X-Men itu juga menyarankan pemeriksaan berkala dilakukan bagi mengelak karsinoma sel basal (BCC) atau penyakit kulit.

“Inilah yang berlaku sekiranya anda tidak menggunakan krim pelindung sinaran matahari.

“Walaupun BCC adalah jenis kanser tahap sederhana tetapi ia tetap serius,” tulis Jackman di status Instagramnya.

Jackman, 47, memuat naik gambar hidungnya yang berbalut selepas selesai menjalani pembedahan.

Pembedahan kali ini adalah yang kelima dilakukan ke atas Jackman.

Menurutnya, kali pertama dia membuang BCC adalah pada 2013, selepas isterinya Deborra-Lee Furness, mencadangkan pemeriksaan dilakukan pada ‘tahi lalat’ pada hidungnya.

“Deb menggesa saya menjalani pemeriksaan. Dan hasil ujian mendapati tanda pada hidung itu adalah kanser.

“Jangan biarkan perkara seperti ini berlaku, jalani pemeriksaan adalah lebih baik.

“Gunakan krim pelindung sinaran matahari,” tulisnya.

Tiga bulan sekali

Jackman adalah aktor yang juga menyanyi dan kadang-kadang menjadi penerbit.

Antara filem pernah dilakonkan Jackman adalah Swordfish (2001), Van Helsing (2004), The Prestige (2006), Deception (2008) dan Les Miserables (2012).

Dia pernah memenangi kategori Aktor Terbaik ( X-Men ) untuk Anugerah Saturn pada 2001, Aktor Kegemaran Bagi Filem Aksi ( X-Men: Origins ) untuk Anugerah People’s Choice pada 2010 dan Aktor Terbaik dalam filem Les Miserables di Golden Globe Awards (2013),

Kata Jackman, untuk memastikan kanser tidak berulang, dia memastikan kulitnya diperiksa setiap tiga bulan.

Kejadian yang membabitkan kanser seperti ini sering berlaku dengan mengambil kira sekurang-kurangnya 70 peratus daripadanya adalah kanser kulit bukan melanoma.

Walaupun tidak berbahaya, pengidap BCC perlu menjalani rawatan kerana sesetengahnya boleh berkembang menjadi kanser kulit yang agresif.

Dalam satu laporan yang didedahkan oleh Majlis Kanser Australia, kira-kira 500 kematian dicatatkan berlaku setiap tahun akibat kanser bukan melanoma.

An example of what happens when you don't wear sunscreen. Basal Cell. The mildest form of cancer but serious, nonetheless. PLEASE USE SUNSCREEN and get regular check-ups.

A photo posted by Hugh Jackman (@thehughjackman) on

Anggaran 95 peratus kes BCC dilaporkan adalah disebabkan kulit yang terdedah pada sinaran UV matahari.

Jackman berkata, dia tidak mengharapkan perkara itu akan berlaku apatah lagi berulang, tetapi cukuplah dapat menerima situasi yang berlaku dengan tabah.

“Saya ambil sikap realistik dalam menangani perkara sebegini untuk masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya mungkin akan ada satu lagi, atau lebih.

“Hal ini jarang berlaku kepada lelaki Inggeris seperti saya yang menetap di Austalia.

“Malah, saya juga tidak pernah diingatkan untuk memakai krim pelindung matahari,” katanya dalam satu laporan media pada 2014.

Lihat Komen
ADS