Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Otai berbisa' 2014: Nak jadi lejen kena belajar

Mengakui tiada manusia sempurna, penyanyi Ayai Ilusi berkata dia tidak berasa terpinggir - apa lagi mencemburui - penyanyi lain yang dibandingkan dengan dirinya.

Pemenang program Gegar Vaganza 2014 itu berkata, dia tidak berasa kecewa apabila Siti Nordiana menarik lebih perhatian berbanding dirinya.

Siti Nordiana - atau Nana - adalah pemenang Gegar Vaganza 2015 .

Kata Ayai, kemenangannya pada 2014 banyak membawa perubahan besar pada kariernya terutama dari segi tawaran menyanyi.

Namun Ayai atau nama sebenar Zahruddin Kamaruddin, 54, berkata dia hairan kerana ada pihak melihat dia semakin tenggelam di sebalik nama Nana.

“Kelakar apabila ada yang bertanya sama ada saya terkilan apabila dipinggirkan selepas lahir juara musim baru Gegar Vaganza .

“Dia (Siti Nordiana) juara sebab itu rezekinya , bagilah dia merasai kemenangan itu. Peluang saya tahun lepas.

"Lagipun umur dia baru 32. Kalau umur saya dengan dia sebaya mungkin tak mengapa untuk membandingkan kami, " katanya kepada Malaysiakini .

Ada resipi sendiri

Ayai mula popular sebagai penyanyi kumpulan Ilusi dengan lagu Puisi Cinta . Selepas memenangi Gegar Vaganza namanya sekali lagi menjadi perhatian ramai.

Pada tahun lalu dia merakam lagu bersama Awie Rafael berjudul Manusia Sempurna.

Menurut Ayai, pasang surut dalam bidang hiburan adalah lumrah dan beliau yakin setiap rezeki yang diterima ditentukan oleh tuhan.

Anak kelahiran Johor itu juga menyangkal cakap-cakap belakang yang mengatakan zamannya sebagai penyanyi sudah berakhir.

“Rezeki manusia ni, Allah yang tentukan.

“Apabila ada pihak berkata zaman untuk orang seperti saya sudah berakhir, saya cuma senyum.

“Saya ambil sikap positif kerana qada dan qadar Allah tentukan, bukan manusia,” katanya.

Sebagai penyanyi berpengalaman Ayai nyata tidak goyah dengan kredibiliti penyanyi lebih muda kerana dia ada resipi tersendiri menangani hal sedemikian.

Bagi Ayai, untuk kekal dalam industri, dia harus mendalami ilmu lagu mengikut peredaran zaman.

Untuk itu, katanya, dia tidak keberatan berguru dengan orang lebih muda.

Rasa itu pernah diluahkan kepada pencipta lagu dan lirik Manusia Sempurna , Awie Rafael.

“Dia simpan lagu tu 11 tahun kerana tidak jumpa penyanyi yang sesuai.

“Apabila diberikan peluang menyanyi lagu itu, saya turut nyatakan ingin mempelajari teknik nyanyian terkini.

“Pada saya tidak menjadi masalah berguru dengan yang lebih muda, sebab nak jadi ' lejen' ni kita kena juga ikut peredaran zaman,” katanya.

Lihat Komen
ADS