Pasha Ungu herdik pegawai bawahan
Jika pengantin, ia umpama inai masih basah di jari. Andai kematian, tanah masih lembab dan merah.
Pasha Ungu baru sehari dilantik menjadi Timbalan Datuk Bandar Palu namun dia sudah menunjukkan 'kukunya'.
Semuanya kerana sebahagian pegawai kerajaan tempatan dilihatnya ketawa terbahak-bahak sejurus sebelum dia masuk ke dewan majlis dan memberikan ucapan di Dewan Perbandaran Palu hari ini.
Tempo melaporkan selepas dijemput berucap di pentas, Pasha - atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Said - tidak menunggu lama untuk memberi peringatan kepada kakitangan kerajaan tempatan.
"Apa motif saudara-saudara tertawa terbahak-bahak?" katanya di majlis kempen kesedaran kesihatan dan keselamatan kerja.
Kira-kira 1,500 orang hadir di majlis itu.
Sebelumnya Pasha melihat sebahagian daripada mereka - yang digelarnya "belum sedar" - di bahagian depan dan belakang tempat acara itu berlangsung ketawa.
Kata Pasha dia berasa "malu" kerana hadirin ketawa terbahak-bahak ketika dia berjalan ke pentas.
" Next , saya tidak mahu ia berulang lagi. Pegawai penguat kuasa perlu menyiasat mereka yang ketawa itu.
"Faham? Faham? Faham?" kata penyanyi lagu Kekasih Gelapku itu dengan nada suara yang jelas beremosi.
Wajar tapi tak wajar
Pasha diumum secara rasmi memenangi pilihan raya perbandaran Palu di Sulawesi Tengah pada hujung Disember tahun lalu.
Bersama seorang tokoh lain sebagai calon Datuk Bandar Palu, dia mendapat sokongan daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Partai Amanat Nasional (PAN).
Kata Pasha pegawai kerajaan tempatan di Palu perlu tahu menghargai orang lain dan tugas masing-masing.
"Perlu menjaga sikap, menampilkan diri secara baik dan benar," katanya.
Mengulas kerenah Pasha, salah seoran pegawai kanan di Palu berkata Pasha tersilap langkah dan agak emosi.
"Dia perlu ingat dirinya dikenali ramai. Majlis pertama sebagai Timbalan Datuk Bandar Palu ini adalah tempat terbaik Pasha memprojekkan dirinya sebagai tokoh mudah didampingi dan disukai.
"Ramai pegawai kerajaan di sini baru pertama kali bertemu secara langsung dengan Pasha. Mungkin sesetengahnya teruja kerana melihat dia menaiki pentas," katanya.
Seorang pegawai lain pula beranggapan Pasha wajar menegur kelakuan pegawai yang berkhidmat di bawahnya.
"Cuma sebaiknya teguran itu dibuat di tempat tertutup, lebih lembut dan bukan menjerit-jerit," katanya.

