Melihat telatah dan kerenahnya, mungkin tiada siapa menyangka penyanyi Indonesia Shae pernah mengalami saat amat hitam dalam hidupnya sehingga dia hilang keyakinan diri sama sekali untuk mendepani cabaran.

Berasakan itu adalah cabaran terbesar, penyanyi berdarah kacukan Indonesia (ibu) dan Australia (bapa) itu meletakkan tanda aras untuk mengukur kejayaannya menerusi tanggapan pada diri sendiri.

“Perkara paling penting buat saya adalah mempercayai diri sendiri kerana dengan itu, orang lain pun dapat melahirkan kepercayaan itu kepada saya.

“Dan bagi saya, itu adalah magik!

“Tuhan beri 'hadiah' itu sedikit demi sedikit, tetapi berturutan. Itu sudah mencukupi. Saya juga harus belajar bersyukur, kerana dengan itu saya dapat memandang lebih jauh,” katanya selepas sidang media pelancaran albumnya Seperti Magic di Kuala Lumpur semalam.

Seperti Magic menampilkan 10 lagu dan Shae sendiri mencipta dua daripadaya.

Lagu Seperti Magic pula dicipta oleh Posan Tobing - individu sama yang menghasilkan lirik lagu popular Shae sebelum ini, Sayang, yang dinobatkan sebagai lagu nada dering dimuat turun paling banyak pada 2014 dan 2015, iaitu sebanyak dua juta kali.

Bangkit dari fasa kelam sebelum ini, Shae, 22, mengakui dia pernah hilang keyakinan diri yang serius hingga perlu menjalani rawatan hipnoterapi ketika mencari jalan keluar.

Katanya, dia berasa terbeban dengan orang di sekeliling yang menuduhnya tidak boleh menyanyi.

Berdasarkan ceritanya, keadaan dilalui Shae dilihat begitu sukar, tetapi itulah yang terjadi kepada pemilik nama sebenar Sheryl Geting itu.

Lagu Seperti Magic pula dicipta oleh Posan Tobing - individu sama yang menghasilkan lirik lagu popular Shae sebelum ini, Sayang, yang dinobatkan sebagai lagu nada dering dimuat turun paling banyak pada 2014 dan 2015, iaitu sebanyak dua juta kali.Baca selanjutnya: http://www.malaysiakini.com/hiburan/331342

Posted by Malaysiakini Seni & Hiburan on Monday, 22 February 2016

Jika sudi datanglah

Selama empat tahun Shae menyepi disebabkan gangguan pada emosinya itu.

“Mereka yang bercakap-cakap di belakang itu tidak menyukai vokal saya, padahal mereka juga bukan sesiapa.

“Dulu saya tidak boleh menyanyi tetapi mempunyai keinginan besar untuk berjaya dalam bidang ini.

“Saya buntu kerana tekanan yang dihidapi ketika itu menjadi punca saya hilang arah, kepercayaan diri dan berputus asa,” katanya.

Fasa duka dilalui Shae itu dialaminya secara sendirian - selama enam bulan - sebelum dia menyedari masalah berkenaan perlu dikongsi dengan seseorang yang memahami.

“Berada dalam situasi berkenaan menyebabkan saya tidak produktif.

“Sampai suatu ketika, saya melarikan diri dari rumah atau menumpang di rumah kawan. Pada ketika lain timbul perasaan gementar setiap kali perlu membuat persembahan.

"Akhirnya saya membuat keputusan untuk merujuk kepada pakar,” katanya.

Bercakap mengenai hal peribadinya, Shae beranggapan dia memiliki pelbagai sisi karakter yang berbeza hingga menyebabkan lelaki sukar mendekati.

Bimbang dengan penolakan atau kegagalan dalam kehidupan berpacaran, Shae bagaimanapun mengambil sikap terbuka mengenai perkara itu.

“Bukan saya menolak, tetapi jika ada yang sudi dengan pelbagai karakter saya, datanglah!" katanya.

Bagi Shae dia menganggap tubuhnya seolah-olah kemeja T yang menyimpan pelbagai karakter di sebaliknya dan ia boleh 'keluar' pada bila-bila masa.

“Apabila di atas pentas lain, esoknya pula lain,” katanya.

Bagaimanapun, Shae mengakui dia kini kembali memperoleh keyakinan dirinya.

Baginya, biarpun masih perlu mencari ‘wajah sebenar' dirinya, dia mulai sedar tanggapan serong masyarakat tidak harus dibiarkan melekat dalam kotak pemikirannya.

“Saya masuk dalam industri ini kerana ingin berjaya.

“Jika orang tidak boleh terima, biarkanlah,” katanya.