YA1M buat konsert hargai S M Salim
Konsert khas untuk memberi penghormatan kepada penyanyi legenda Tan Sri S M Salim akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12 Mac ini.
Persembahan anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) bakal membariskan 18 artis popular tanah air iaitu Datuk D J Dave, Datuk M Nasir, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Andre Goh dan Zur Eda.
Turut serta Noraniza Idris, Ezad Lazim, Zahid AF, Usop Kopratasa, Raihan, Hasmidar, Bob Yusof, Alyah,Syafinaz, Haziq dan Syafinaz Selamat.
Pengerusi YA1M, Dave, berkata konsert dinamakan Tribute To Living Legend - Tan Sri SM Salim itu diadakan secara percuma namun badan korporat, rakan artis serta orang perseorangan digalakkan untuk menderma untuk mengisi tabung YA1M.
"Sebagai badan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan para artis di hari tua mereka, kesemua hasil pendapatan dari konsert ini akan disalurkan kepada dana bantuan dan kebajikan yayasan bagi tujuan membantu rakan-rakan artis yang memerlukan," katanya.
Menurut Dave tidak mustahil konsert yang sama akan diteruskan pada tahun akan datang demi memastikan lebih ramai lagi artis veteran yang dapat diberikan penghargaan sewajarnya.
"Tan Sri S M Salim adalah contoh terbaik seorang seniman yang berjaya berganding rapat dengan artis dari pelbagai era dan generasi. Amat wajar beliau diangkat dan diberikan penghargaan melalui konsert," katanya.
Naib Presiden YA1M merangkap penerbit konsert, M Nasir pula berkata barisan artis yang dipilih adalah mereka yang difikirkan bersesuaian untuk menyanyikan lagu-lagu seniman legenda itu.
"Tapi yang lebih utama penyanyi ini boleh menyampaikan lagu-lagu beliau. Memang kita hendak artis-artis ini dan ini adalah satu penghargaan untuk mereka.
"Dari sudut gubahan lagu, ia akan disesuaikan untuk persembahan orkestra," katanya.
Kepada sesiapa yang ingin menonton boleh menderma melalui tabung YA1M dan mendapatkan tiket dengan melayari akaun Facebook YA1M di Yayasan Artis 1 Malaysia, Instragram (Yayasan _Artis_1Malaysia) dan laman sesawang www.ya1M.org.
- Bernama

