Ashraf tumpu produksi drama patuh syariah
Patuh syariah - itu 'perjuangan' Ashraf Muslim dalam mengembangkan produksi syarikatnya walaupun pernah berdepan tempoh sukar untuk memenangi hati stesen televisyen tempatan.
Dalam memperjuangkan karya Islamik, Ashraf, 35, bersyukur kerana kesukaran itu tidak lagi dihadapi Al Hidayah Production Sdn Bhd yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu dan jalannya pula semakin terbuka luas.
Kata Ashraf, dia yakin produksi yang membawa tema Islam juga mempunyai nilai komersial di negara ini.
“Saya ingin mengangkat drama atau telemovie yang patuh syariah kerana ingin menunjukkan kebaikan Islam dalam masyarakat.
“Cara untuk meninggikan lagi kedudukan produksi seumpama itu adalah melalui persembahan, jalan cerita dan penyampaian yang betul,” katanya selepas sidang media pratonton teater muzikal
Cinduo Mato
di Istana Budaya semalam.
Ashraf sebenarnya bercerita mengenai salah satu drama terbitannya, Matahari Terbit Lagi yang diangkat sebagai drama terbaik Anugerah Skrin 2014.
Karya itu turut memenangi beberapa anugerah lain seperti pelakon lelaki terbaik yang diberikan kepada Anwar Chew Abdullah, pengarah terbaik (Azeli Mohammad), videografi terbaik dan lakon TV terbaik.
Kata Ashraf, untuk mengubah ‘jiwa’ masyarakat yang kebanyakannya cenderung kepada kisah cinta diadaptasi daripada novel mahupun cerita hantu bukanlah mudah.
Malah, dia juga memahami sekiranya terdapat banyak halangan untuk mengajak umum ke arah mencintai drama bertema Islamik.
“Memang tidak dinafikan mentaliti masyarakat berbeza.
“Itu sebab saya hasilkan cerita yang tidak terlalu berat dan santai, tetapi pada masa sama saya sentuh elemen kerohanian sedikit," katanya.
Bukan kerana nama, populariti
Bagi Ashraf dia berpendapat media memainkan peranan penting untuk mendidik masyarakat.
“Mengapa kita tidak buat cerita Islamik yang kandungannya orang ramai suka dan mudah ikut?” soalnya.
Bila ditanya sama ada Ashraf mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem seperti tema dibawa Matahari Terbit Lagi, ini jawapannya:
“Insya-Allah, itu sebahagian daripada perancangan saya tetapi filem begitu mungkin membawa cabaran lain dan lebih besar untuk diterima masyarakat kita.
“Mungkin saya akan hasilkan filem Islamik tetapi mempunyai unsur urban,” katanya.
Mengenai matlamatnya menghasilkan produksi sebegitu, Ashraf berkata, perjuangan dakwah bukanlah untuk mengejar nama dan populariti.
Sebaliknya, kata Ashraf, apa yang dikejar adalah untuk mendapatkan "keberkatan" dan "rahmat" supaya semua aspek kehidupan berjalan lancar.
“Kadang-kadang dapat skrip, pengarah dan artis hebat, tetapi cerita yang terhasil tidak mendapat hasil yang diharapkan.
“Sebab itu untuk mendapatkan berkat dan rahmat, saya menjaga yang sepatutnya, dari segi teknikal hingga ke penulisan skrip. Insya-Allah berkat itu akan ada," katanya.

