Pemimpin Kristian tak rela Madonna bikin konsert
Seorang paderi kanan Singapura menyatakan kebimbangan terhadap konsert Madonna yang dijadual diadakan di Singapura hujung minggu ini.
Ketua Biskop William Goh berkata penganut Kristian dinasihat tidak memberikan sokongan kepada seseorang yang "menghina agama".
Katanya, dia mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan untuk menyatakan kebimbangan pihak gereja kepada konsert pada Ahad ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Goh berkata, menjadi tanggungjawab moral kepada penganut Kristian tidak memberikan sokongan kepada pihak yang menghina sesuatu agama.
Ia, kata Goh, teramasuk sebarang kenyataan bersifat anti-Kristian serta nilao tidak bermoral yang diperkenalkan dunia sekular.
"Tiada pengecualian dalam keyakinan, sama ada seseorang itu menyokong atau menentang. Menghadiri (majlis seumpama itu) adalah bercanggah dengan pegangan agama," katanya.
Madonna dijadual mengadakan persembahan di Singapura pada 28 Februari ini dalam siri jelajah dunia Rebel Heart.
Ia adalah kemunculan pertama Madonna di atas pentas konsert di Singapura. Pada 1993 dia dilarang mengadakan persembahan selepas polis berpendapat aksinya "bercanggah dengan banyak asas moral dan agama".
Kata Goh ramai penganut Katolik Roman marah dengan kelakuan Madonna yang "tidak menghormati simbol Katolik dan Kristian".
Pihak Berkuasa Pembangunan Media mengehadkan konsert berkenaan diadakan di Stadium Nasional - yang boleh memuatkan seramai 55,000 penonton - hanya dihadiri individu berusia lebih 18 tahun.
Media melaporkan dalam konsert berkenaan Madonna akan membuat persembahan digelar Holly Water menampilkan penari berpakaian seperti biarawati seksi beraksi di palang berbentuk salib.

