Cat Stevens idam konsert jelajah lagi?
Sudah 40 Cat Stevens tidak melakukan konsert jelajah dunia bersama gitar dan rombongan pemuziknya.
Pada 22 Februari 1976 Stevens melakukan siri konsert di seluruh AS, Majikat, yang unik.
Walaupun konsert itu dilangsungkan pada 1970-an, rakaman secara langsung persembahan itu hanya diterbitkan pada 2004 iaitu 28 tahun selepas ia berlaku.
Empat puluh tahun selepas Majikat, tiba-tiba Stevens - atau Yusuf Islam - mengumpan idea: Mungkinkah tiba masanya untuk dia melakukan siri jelajah sekali lagi?
Melalui akaun Facebook, penyanyi British berdarah kacukan Sweden dan Cyprus itu menulis: "Ulang tahun ke-40 Majikat, siri jelajah dunia terakhir pada 1976. Mungkin inilah masanya untuk satu lagi (siri jelajah)..."
Stevens terkenal dengan pelbagai lagu pop yang sesetengahnya masih dinyanyikan oleh penyanyi lain yang lebih terkemudian, seperti Wild World, First Cut Is The Deepest dan Father And Son .
Dia memeluk Islam pada Disember 1977 dan menukar namanya kepada Yusuf Islam.
Dua tahun kemudian dia melelong semua gitarnya, meninggalkan dunia muzik untuk memberi tumpuan kepada isu semasa Islam, terutama bidang pendidikan dan kebajikan.
Dilahirkan dengan nama asal Steven Demetre Georgiou pada 21 Julaiu 1948, dia kemudian kembali menyertai dunia muzik pada 2006 dengan menghasilkan album pertama selepas 28 tahun, An Other Cup.
Stevens sekali lagi menghasilkan album baru pada 2009 berjudul Roadsinger , dan Tell 'Em I'm Gone (2014).
Namanya diabadikan dalam senarai Rock and Roll Hall of Fame pada 2014.

