Seakan ada pesta di depan Penjara Yerawada di bandar Pune, Maharashtra pagi semalam.

Ada yang membawa kamera dan buku catatan - membayangkan mereka adalah petugas media - dan sebahagian lain membawa sepanduk memaparkan kata-kata kecaman. Mereka adalah penunjuk perasaan.

Sebahagian yang lain hadir dengan wajah gembira. Mereka adalah ahli keluarga dan saudara-mara Sanjay Dutt.

Dengan seluar dan baju jeans serta tanda tanda ashtagandha di kepalanya, Sanjay melangkah keluar meninggalkan penjara berkenaan sebagai orang bebas.

Sejurus sebelum bertemu orang ramai dia sempat memberi tabik hormat kepada bendera India yang berkibar di situ.

Dia juga dilaporkan mencium tanah sejurus kemudian.

Antara individu pertama menyambutnya ialah isteri, Maanayata dan pengarah filem Rajkumar Hirani.

Kunjungi kuil sebelum pulang

Pada awalnya Sanjay, 56, kelihatan bersedia bercakap kepada media namun dinasihati supaya segera memasuki kereta untuk menuju ke lapangan terbang.

Dia mengambil penerbangan khas dari Pune ke Mumbai sebelum meneruskan perjalanan ke kuil Siddhivinayak di Prabhadevi dengan kawalan ketat pengawal peribadi.

Di situ, Sanjay cuba dihalang memasuki kuil namun keadaan dikawal polis sejurus kemudian. Selesai mengadakan upacara kegamaan Sanjay menyambung perjalanan ke rumah ibunya di Marine Line.

Sanjay sebelum ini disabitkan kesalahan memiliki senjata api dan bersekongkol dalam pengeboman di beberapa lokasi di Mumbai pada 1993.

Seramai 257 orang maut dan 713 lagi cedera dalam kejadian itu.

Walaupun dipenjara selama lima tahun, ia tidaklah semudah disangka. Pendakwa melalui proses perundangan yang panjang dan sementara menunggu hukuman itu dilaksanakan Sanjay kekal bebas.

Di rumahnya Sanjay dikelilingi ramai peminat. Dengan diiringi muzik dan kalungan bunga, dia berkata: "Tiada jalan mudah untuk bebas."

Sanjay dibebaskan 144 hari lebih awal atas alasan dia berkelakuan baik semasa dalam tahanan, termasuk terbabit dalam mengendalikan program radio.