Pasha tunjuk teladan buruk
Pasha Ungu terus diperhatikan.
Baru beberapa hari selepas ditegur kerana berkasar dengan pegawai bawahannya Timbalan Datuk Bandar Palu di Sulawesi Tengah itu dikecam kerana memuat naik gambar merokok.
Melalui gambar dipaparkan di Instagram itu Pasha dilihat bersama seorang pegawai daerah dalam kawasan Palu.
Dengan pakaian rasmi mereka dilihat merokok bersama-sama.
Bagaimanapun gambar itu bukan dimuat naik Pasha sendiri, sebaliknya isteri penyanyi itu, Adelia Wilhelmina.
Gambar Pasha - atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said - segera mendapat kritikan pelayar Internet.
Bagi kebanyakan pihak gambar itu tidak lain hanyalah menggalakkan orang ramai menjadi perokok.
Antara komen yang ditulis pada gambar berkenaan ialah: "Ingat, asap rokok juga disedut oleh orang di sekeliling perokok. Ertinya Pasha sudah membahayakan kesihatan orang di sekitar ketika itu."
"Gambar ini memberi contoh buruk," tulis pengguna lain.
Pada 18 Februari lalu Pasha dilaporkan mengherdik pegawai bawahannya kerana ketawa ketika dia berjalan menaiki pentas pada hari pertama dia menjadi pegawai awam Palu.

