AC/DC tangguh konsert, penyanyi berisiko pekak
Kumpulan hard rock Australia AC/DC terpaksa membatalkan siri konsert jelajah AS mereka ketika kebimbangan terhadap masalah pendengaran penyanyi mereka semakin membimbangkan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, kumpulan itu memberitahu deria pendengaran Brian Johnson mungkin terjejas dan dinasihati doktor supaya tidak menyertai siri konsert jelajah berkenaan.
"Kami dinasihati doktor supaya mengentikan siri konsert jelajah itu serta-merta atau Johnson akan pekak mutlak," kata kenyataan diterbitkan di laman sesawang AC/DC.
Bagaimanapun kumpulan itu berpendapat mereka akan meneruskan siri Rock or Bust World Tour berkenaan selepas menyusun semula 10 konsert mereka di AS.
"Konsert yang sepatutnya diadakan di Atlanta dan Madison Square Garden di New York awal April nano akan dilangsungkan hujung tahun ini, kemungkinan dengan penyanyi jemputan," kata kumpulan itu.
AC/DC ditubuhkan pada November 1973 oleh adik-beradik Malcolm dan Angus Young.
Kumpulan itu biasanya dirujuk sebagai band hard rock atau blues rock selain dianggap pelopor kepada muzik heavy metal.
Mereka menerbitkan album pertama pada Februari 1975.
Penundaan konsert berkenaan menjadi satu lagi tamparan kepada AC/DC selepas satu-satunya anggota pengasas band itu yang masih ada, Malcolm Young disahkan menghidap demensia.
Seorang lagi anggota kumpulan itu, pemain dram Phil Rudd dihukum ditahan dalam rumah selama lapan bulan selepas disabitkan kesalahan mengugut bunuh serta memiliki dadah.
Tahun lalu mereka melakukan siri konsert jelajah menggunakan pemain dram jemputan Chris Slade serta pemain gitar Stevie Young - yang juga sepupu Malcolm dan Angus.
Johnson, 68, menjadi vokalis AC/DC sejak 1980 ekoran kematian mengejut Bon Scott di London, kesan daripada pengambilan arak melampau.

