Bekas pemain gitar bass Rolling Stone, Bill Wyman disahkan menghidap barah prostat, kata pejabat perhubungan media kumpulan muzik berkenaan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Wyman, 79, dilaporkan sedang menjalani rawatan dan diyakini akan pulih sepenuhnya kerana barah dikesan di peringkat awal.

"Keluarga Wyman meminta hak privasi mereka tidak diganggu ketika ini," katanya.

Lahir di tenggara London pada Oktober 1936, Wyman menyertai kumpulan Rolling Stones sebagai pemain bass pada 1962.

Wyman kekal setia bersama kumpulan rock berkenaan sehingga dia meninggalkan anggota lain 31 tahun kemudian.

Antara pembabitkan Wyman selepas Rolling Stone ialah menubuhkan band sendiri, Bill Wyman's Rhythm Kings pada 1996.

Anggota lain Rolling Stone ketika era awalnya - selain Wyman - ialah Brian Jones (gitar dan harmonika), Ian Stewart (piano), Mick Jagger (vokalis utama), Keith Richards (gitar) dan Charlie Watts (dram).

Kali terakhir Wyman dilihat di tempat awam ialah hujung minggu lalu ketika dia menyertai majlis perkahwinan Rupert Murdoch dengan bekas supermodel Jerry Hall di London.

Dalam temubual dengan The Daily Telegraph pada 2013 Wyman berkata dia tidak menyesal meninggalkan Rolling Stones.

"Mula-mula anggota band berkata, saya mungkin rugi £20 juta (RM117 juta) untuk beberapa tahun akan datang, tetapi saya sudah memiliki rumah dan kereta yang hebat.

"Saya berkahwin lagi (selepas itu) dan menulis buku, selain menubuhkan band untuk pendapatan sampingan.

"Saya tidak pernah berasa begitu gembira. Saya pasti saya lebih bahagia berbanding anggota lain Rolling Stones," katanya.