Agak mudah menyentuh hati penonton menerusi jalan sebuah cerita. Caranya – mengangkat tema kekeluargaan kemudian selitkan sedikit unsur lucu dan sedih, lalu ditonjolkan dengan bersulamkan norma masyarakat dan perbezaan budaya.

Manusia yang terbiasa dengan zaman teknologi dan kesan visual ada kalanya mudah lupa, kisah sarat mesej dengan mengekalkan resipi tradisional sebenarnya bukan saja mampu menghiburkan, malah boleh meruntun jiwa.

Pengarah Jess Teong menunjukkan kebolehannya menyentuh hati ramai, termasuk juri Festival Filem Macau ketujuh Disember lalu dengan filem sulungnya, The Kid From The Big Apple.

Maka, dengan ramuan yang betul filem tempatan dengan paparan budaya masyarakat Cina itu berjaya meraih hingga empat anugerah di festival berkenaan – penulisan skrip terbaik, pelakon baru terbaik (Tan Qin Lin), pelakon lelaki terbaik (Tommy Tam), dan pelakon wanita terbaik (Jessica Hester Hsuan).

‘Inti’ The Kid From The Big Apple mudah dihadam. Kisahnya berkisar mengenai semangat kekeluargaan yang berada di ambang perpecahan, namun disatukan kembali menerusi komunikasi yang betul.

Bukan itu saja, The Kid From The Big Apple turut mengajar orang muda untuk lebih menghormati orang tua. Justeru dari satu sudut, filem itu dilihat berjaya mengetengahkan mesej yang betul.

Perselisihan faham selama bertahun-tahun selepas berhijrah ke luar negara menyebabkan hubungan antara si bapa, Lin Chun Gen (Tam) dengan anak perempuannya, Sophia Lin (Jessica) semakin retak.

Membesar jauh dari budaya

Kehambaran komunikasi itu menurun kepada cucu Sarah Lin (lakonan Tan) yang mengagungkan budaya barat.

Sarah seorang budak degil yang meraikan Krismas, menggunakan selipar untuk memijak lantai di rumah kerana jijik, sanggup tidak makan makanan dimasak datuknya kerana tidak biasa dan loya, selain mula berpakaian seksi walaupun ketika usia masih kecil.

Sarah juga tidak tahu menghormati orang tua.

Di situ penonton disuntik dengan bayangan negatif mengenai kemungkinan konflik dihadapi Lin turut dialami jika membiarkan anak masing-masing membesar jauh daripada adab dan budaya sendiri.

Dan atas sebab itu juga filem itu memilih gelaran sedemikian – Big Apple adalah nama lain bagi bandar raya New York.

Paling menarik, biarpun tajuknya ada perkataan Big Apple, tidak bermakna penggambaran di buat di luar negara, sebaliknya kisah itu memilih Malaysia sebagai latar.

Aksi lincah Sarah berbahasa 'seolah ayam dan itik' dengan datuknya pula menjadi faktor penting untuk membuat penonton rasa terhibur.

Tidak puas dipandang - begitulah perasaan melihat aksi si kecil berusia 11 tahun itu yang boleh dikatakan menjadi penyeri dalam The Kid From The Big Apple.

Malah, lakonan mantap Tam dan Jessica juga boleh dipuji.

Satu lagi yang menarik pada filem ini ialah, setiap babak mempunyai tingkat pengembangan plot yang membakar rasa ingin tahu penonton. Ia boleh dilihat apabila hidup Lin dikembangkan dari satu babak ke satu babak bagi memahamkan penonton bahawa si cucu mencintai budaya tempatan.

Justeru, pengarah bertindak betul apabila memberi penekanan terhadap aspek adab dan pantang larang budaya untuk menyampaikan mesej kepada jiwa penonton.

Dan dia menyusun setiap babak itu dengan kemas dan mungkin mampu membuat penonton berasa tiket yang dibeli bukanlah suatu pembaziran.