Rahsia anggun Erra di usia 42
Biasanya seseorang artis menggunakan khidmat pakar perunding imej untuk tampil bergaya di khalayak, namun aktres popular Erra Fazira memilih cara berbeza.
Rahsia Erra, 42, sering tampil anggun dan elegan di setiap majlis dengan mengambil kira pendapat anak sulungnya, Engku Aleesya.
Dan mungkin, perkara yang membuatkan hubungan ibu dan anak itu semakin rapat adalah kerana Erra mempertimbangkan elemen fesyen yang sering dicadangkan.
“Setiap kali bersiap, dia akan memerhatikan saya.
“Ketika itulah dia akan berkata ibu, kamu kelihatan cantik memakai baju ini atau sekiranya mengenakan mekap bertambah jelita,” katanya yang ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Warna Cinta Impian di Petaling Jaya semalam.
Erra sekali lagi digandingkan dengan Awie menerusi filem terbaru itu. Warna Cinta Impian menjadi titik permulaan untuk mengembalikan nostalgia antara Erra dan Awie.
Filem yang menelan kos RM2.7 juta itu memaparkan kisah Erra dan Awie sebagai pasangan yang pernah menjalin cinta tetapi putus di tengah jalan.
Tak sukar kembalikan 'bahagia'
Bagaimanapun, Erra dan Awie bukanlah pelakon utama. Sebaliknya filem itu diterajui oleh Shiqin Kamal (Diana) dan pelakon Singapura, Erwin Shah Dawson (Daniel).
Ia turut dijayakan oleh barisan artis lain seperti Azlee Khairi, Nazeera Sardi, Fad Bocey dan penampilan istimewa Datuk David Arumugam.
Selain Malaysia, filem yang bakal ditayangkan pada 31 Mac nanti menjalankan penggambaran di luar negara seperti India dan Australia.
Menurut Erra, tidak sukar untuk mengembalikan suasana ‘bahagia’ di lokasi penggambaran kerana dia dan Awie boleh duduk berbincang.
Erra dan Awie pernah menjalin cinta satu ketika dulu.
Apabila bersua semula dalam filem terbaru, Erra mengakui tidak sukar baginya untuk menjayakan watak yang dipegang.
“Kami sudah lama berkawan semula, hubungan sekarang seperti abang dan adik, jadi tiada masalah untuk berlatih babak yang diperlukan.
“Kami akan duduk berbincang dan mengubah beberapa dialog untuk tujuan kesesuaian bersama,” katanya.

