Pelakon Tony Eusoff dihadapkan ke mahkamah di Singapura semalam atas tuduhan memiliki dadah.

Menurut kertas pertuduhan, Tony atau nama asalnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 38, didakwa mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura kerana memiliki dadah terkawal Kelas A.

Tony didakwa memiliki sepaket dadah mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan bercampur ganja.

Berita Harian Singapura melaporkan, Tony didakwa ketika berada di dewan ketibaan bas di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.

Difahamkan, pelakon kelahiran Sarawak itu berada di Singapura untuk menjalani penggambaran drama The Hush terbitan Weiyu Films.

Sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan Tony pernah memainkan beberapa watak utama antaranya sebagai allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam dalam teater P Ramlee the Musical.

Selain itu, Tony juga pernah menghiasi skrin televisyen dengan membawa watak utama dalam drama Igauan Semalam, Simbiosis dan Astana Idaman.

Di negera kota Singa itu, dadah Kelas A disifatkan sebagai dadah paling berbahaya dan menyebabkan ketagihan teruk.

Di bawah undang-undang Singapura, jika sabit kesalahan, Tony boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan didenda hingga S$20,000 (RM57,621) atau kedua-duanya sekali.

Kes Tony akan didengar sekali lagi di Mahkamah Singapura pada 12 April depan.