Redha inspirasi kisah benar anak autisme
Sebelum menonton tayangan perdana filem Redha yang diadakan di GSC Pavilion Sabtu lepas, hanya beberapa pengetahuan asas yang diketahui oleh penulis mengenai autisme.
Pertama, kanak-kanak autisme tidak berupaya untuk mengadakan 'eye contact' dengan sesiapa.
Kedua, mereka biasanya tidak sukakan sentuhan fizikal dan ketiga mereka akan suka berulang-ulang bercakap atau menuturkan benda yang sama berulang-ulang kali.
Itu adalah antara maklumat asas yang beliau baca daripada sebuah poster makluman mengenai tanda-tanda anak autisme di sebuah klinik yang dikunjungi tidak lama dahulu.
Selebihnya penulis tidak pernah mempunyai pengalaman secara langsung bertemu dengan anak-anak syurga ini.
Setelah menonton filem hasil arahan Tunku Mona Riza Tunku Khalid ini, pengetahuan diluaskan sedikit dengan beberapa maklumat penting, antaranya, anak-anak austime mampu menjadi ahli masyarakat yang aktif jika kondisi mereka dikesan sejak awal lagi.
Filem Redha ini berkisar kehidupan Razlan, Alina dan anak mereka Danial. Sebagai ibu yang rapat dengan anaknya, Ina merasakan Danial 'tidak sama dengan kanak-kanak yang lain'.
Ia merupakan kisah kesabaran dan kesungguhan si ibu bagi mendapatkan jawapan tentang keadaan Danial yang lambat bercakap, tidak responsif apabila dipanggil dan tidak pernah bertentang mata dengan mereka atau sesiapa sahaja.
Ia juga menyorot bagaimana 'ketidaksempurnaan' seorang anak menjadi pemangkin kepada 'kesempurnaan' seorang bapa.
Banyak babak di dalam filem arahan Tunku Mona Riza ini yang sepertinya menyiat-nyiat perasaan seorang ibu sehingga beberapa kali penulis menumpahkan air mata.
Namun dua babak yang paling memberi kesan kepada penulis adalah apabila akhirnya Ina dapat mendengar ucapan kata sayang daripada Danial, ayat-ayat cinta yang sangat didamba oleh mereka yang bergelar ibu dan babak yang mana Sasha memarahi dua orang wanita yang memperlekehkan Danial, simbolik kepada kurangnya maklumat dan rasa empati masyarakat terhadap mereka yang menghidap autisme.
Filem Redha bakal ditayangkan di pawagam GSC dan MBO bermula 14 April ini dan tayangan perdana yang dianjurkan Sabtu lalu adalah bersempena dengan bulan kesedaran Autisme.
Di pawagam-pawagam GSC setiap RM1 daripada harga tiket akan disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).
Ketika ditanya di dalam sidang akhbar selepas berakhirnya tayangan perdana, pelakon cilik Harith Haziq yang melakonkan watak Danial semasa kecil mengakui sukar untuknya membawakan watak tersebut namun hasil tunjuk ajar dan kesabaran pengarah, beliau berjaya menjiwai watak anak autisme ini.
Watak Danial diinspirasikan daripada dua orang anak autisme sebenar.
Menurut Tunku Mona, filem yang digarap bersama Azril Hamzah (yang tidak kelihatan semasa sidang akhbar tersebut) bertujuan memberikan pengetahuan dan pemahaman yang lebih meluas tentang autisme kepada masyarakat.
Filem terbitan Current Pictures ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Namron, June Lojong, Harith Haziq, Izzy Reef, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Susan Lancaster dan Mak Mah, antara lainnya.
Istimewanya filem Redha ini, lagu tema yang berjudul 'Abah' hasil ciptaan Monoloque dinyanyikan oleh Umar Hasfizal, seorang anak autisme yang berbakat besar di dalam bidang nyanyian.
Ia sememangya filem wajib tonton!
- Bernama

