Waheeda kesal peminat rebut tudung Sweet Love
Ini mungkin bukan fenomena biasa, tetapi yang pasti masyarakat tidak mahu kejadian sama berulang kembali apabila berlangsung jualan membabitkan kain tudung.
Menerusi sebuah klip video yang menjadi viral baru-baru ini, dianggarkan ribuan peminat setia koleksi tudung Butik Fareeda menyerbu lokasi yang bertempat di Bandar Baru Bangi untuk mendapatkan nombor giliran bagi pembelian keesokan harinya.
Semuanya bagi mendapatkan koleksi terbaru Sweet Love yang diedarkan pada masa terhad.
Berikutan kejadian yang dianggap mencemaskan, memalukan dan tidak wajar itu, masyarakat mula mengkritik secara lantang termasuk beberapa selebriti.
Antaranya adalah penyanyi yang pernah popular pada 1990an dengan lagu Janji Manismu, Aishah.
Aishah menerusi ruangan status Facebook, mempersoal sikap pengurusan yang sanggup membiarkan dan melihat pelanggan berasak-asak semata-mata untuk mendapatkan koleksi eksklusif tudung Sweet Love.
“Mengapa nak beli tudung sampai begitu sekali? Pihak pengurusan sewajarnya menggunakan sistem yang lebih baik kerana ini bukan pertama kali mengadakan jualan promosi,” tulisnya.
Justeru, Aishah berkata, untuk mengatasi kejadian sama daripada berulang, pengusaha jenama dan juga pembeli perlu mengambil iktibar dalam menjalankan peranan masing-masing.
Tutup aurat
Katanya, perlakuan buruk hanya berbalik kepada diri sendiri, iaitu menunjukkan kelemahan masing-masing sebagai individu yang boleh berfikir secara berhemah.
“Nak beli tudung sampai begitu sekali? Apabila berebut-rebut hendak membeli tudung, perkara itu hanya mencerminkan sisi mentaliti rakyat kita.
“Masing-masing kena tanya pada diri sendiri. Niat dah baik untuk berniaga, nak tutup aurat tetapi nilai Islam yang lain perlu juga diambil kira,” katanya.
Sabtu lalu, Butik Fareeda yang merancang untuk membuka kedai pada jam 5 petang terpaksa mengubah jadual pengedaran tiket pelancaran dengan mengawalkan pembukaan sejam awal.
Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd Mawar Abdul Karim, adalah isteri kepada pelakon Fizo Omar. Dan klip video berkenaan pula didakwa dimuat naik oleh Fizo menerusi akaun Facebook.
Dianggarkan sebanyak lebih 3,700 tiket habis diedar dalam tempoh tidak sampai tiga jam berikutan peminat ‘menggila’ untuk mendapatkan koleksi terbaru Sweet Love itu yang tidak boleh didapati di tempat lain.
Isu itu turut menjadi perhatian apabila ada portal memetik kenyataan selebriti Wardina Safiyyah yang meluahkan perasaan berbuku mengenai kejadian yang berlaku.
Sistem giliran pos
Bagaimanapun, Wardina dilihat tidak senang dengan tindakan itu kerana dia tidak membenarkan status di Facebook dipetik tanpa kebenaran.
Untuk mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai isu terbabit,
Malaysiakini
menghubungi Waheeda.
Waheeda atau nama asalnya Wahidah Abdul Wahab, 38, yang pernah terkenal dengan lagu Wassini mencadangkan pengusaha Butik Fareeda menggunakan sistem giliran seperti pihak bank atau pejabat pos.
“Saya sedih melihat klip video berkenaan apabila ada yang berhimpit-himpit di bahagian depan.
“Ia menimbulkan malu kepada pelanggan itu dan tindakan memuat naik klip video di media sosial umpama membuka pekung di dada mengenai sistem pengurusan,” katanya.
Menurutnya, sebelum mengaplikasi sistem yang betul, seseorang pengusaha itu pula wajar menilai niat asal menjual rekaan yang dihasilkan.
“Jika tujuan dia untuk memelihara kepentingan wanita, maka hasilkan rekaan yang menutup aurat yang sebetulnya dan bukan semata-mata mengikut trend,” katanya.
Nasihatnya, orang ramai tidak perlu berasa bimbang atau khuatir sekiranya terlepas dalam membeli atau mendapatkan sesuatu promosi jualan yang ditawarkan pada masa tertentu.
“Jangan takut sangat sekiranya tidak dapat membeli atau barangan itu habis, kalau diizinkan Allah SWT, semua akan dapat hak masing-masing,” katanya.
Ketika ini, Fizo dan Mawar sedang berada di Shanghai dan Malaysiakini masih cuba mendapatkan reaksi daripada pasangan berkenaan.

