Nam Ron terkilan Redha belum pikat masyarakat
Meskipun ruang media sosial Nam Ron dibanjiri pujian dan kata-kata positif daripada penonton yang sudah menyaksikan filem Redha - The Beautiful Pain , ia tetap membuat pengarah dan pelakon itu berasa sedih.
Sebabnya, penjualan tiket filem berkenaan didapati masih belum meraih hasil yang memberangsangkan.
Nyata, perkara itu membingungkan Nam Ron, 47, kerana dia mengagak hebahan mengenai filem berkenaan - sejak tahun lalu - berjalan lancar dan sepatutnya memberi kesan yang diharapkan.
“Terbabit dalam Redha melahirkan perasaan yang tidak sama seperti berlakon dalam filem terdahulu.
“Saya tidak pernah bersuara sekiranya filem yang pernah dilakonkan tidak mencapai peringkat box office.
“Tetapi hal ini berlainan kerana Redha bukan filem berbentuk hiburan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bukan pelakon popular
Redha yang diarahkan Tunku Mona Riza mengisahkan hubungan seorang bapa dengan anaknya yang mengidap autisme.
Filem yang dinspirasikan daripada kisah benar itu turut menampilkan Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Susan Lankester, Ruminah Sidek, June Lojong, Izzy Reef dan Haziq Harith sebagai pelakon.
Untuk menyiapkan Redha, ia tidaklah mudah. Untuk menyempurnakan filem menelan belanja kira-kira RM3.7 juta itu pelbagai proses dijalankan, termasuk penyelidikan selama dua setengah tahun.
Junainah Lojong & @_Nam_Ron_ in one film. #RedhaMovie out in cinemas now. đâ¤ď¸đ pic.twitter.com/FKLK8h7QyX
— Sharifah Amani (@sharifahamani) April 14, 2016
Redha sebenarnya lebih dekat di hati Nam Ron kerana nalurinya memilih untuk bertanggungjawab menyebarkan kesedaran mengenai autisme kepada orang ramai.
Namun, pada masa sama, pembawa watak utama Redha itu berasakan niatnya hanya berjaya pada tahap tertentu saja.
“Mungkin saya tidak patut berada di situ sebagai pemegang watak utama kerana kami (Nam Ron dan isteri, June Lojong) bukan pelakon popular, malah tidak ada nilai komersial.
“Saya beranggapan, Redha lebih memerlukan seseorang yang terkenal dan boleh meraih sokongan terutama penggemar filem,”katanya.
Semasa melalui proses pembikinan Redha , Nam Ron mengambil inisiatif untuk mengenal lebih dekat ibu bapa yang melahirkan anak autisme.
Kesungguhan itu secara tidak langsung membuka matanya mengenai kerumitan memiliki seorang anak istimewa seperti itu.
“Apabila mereka bercerita tentang masalah anak, perkara seumpama itu menyentuh hati.
“Dengan Redha , saya mahu penonton memahami isi kandungan yang ingin disampaikan.
“Justeru, hasil tontonan itu diharap dapat mengubah persepsi negatif masyarakat apabila mereka terlihat, terpandang atau perlu bersemuka dengan anak autisme.
"Dan besar harapan saya agar masyarakat dapat meluangkan masa untuk menonton filem ini,” katanya.

