Untungnya menyanyi sambil 'dihujani' wang
Rita Sugiarto memang sudah tersohor di Indonesia tetapi ada tuah yang 'lain macam' buat pendangdut legenda tersebut ketika berdepan seorang lelaki tidak dikenali.
Dalam satu klip video dimuat naik baru-baru ini kelihatan seorang lelaki tidak dikenali menaburkan wang ketika Rita beraksi di atas pentas.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Binuang, Kalimantan Selatan.
Dalam amalan digelar "sawer" itu seseorang peminat menghamburkan wang kepada penyanyi yang diminati sebagai tanda penghargaan.
Ketika Rita, 50, menyanyi lelaki terbabit dilihat melayangkan banyak wang dipercayai bernilai Rp100,000 sambil menyanyi lagu Tersisih bersama-sama.
Menurut orang ramai lelaki itu ialah hartawan tempatan tetapi tiada pengesahan dibuat individu berkenaan.
Dalam persembahan lain Rita sekali lagi mengajak lelaki terbabit menyanyi bersama ketika mendendangkan lagu Biarlah Merana.
Pada video ketiga barulah ada sedikit bayangan mengenai identiti lelaki misteri berkenaan.
Ketika itu Wiwik Sagita bersama Grup New Palapa sedang membuat persembahan apabila pengacara menyebutkan nama "Bang Sukma" ketika lelaki terbabit naik ke pentas.
Dia kemudian melayangkan wang bernilai Rp50,000 kepada penyanyi.
Apa pun, media tempatan menggelar lelaki terbabit sebagai Raja Sawer dari Binuang, Kalimantan Selatan.

