Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sesuai dengan instrumen muzik era 1960-an dan 1970-an yang sering digunakan, band Pitahati memilih lokasi langka untuk konsert mini mereka pada bulan depan.

Mereka memilih Muzium Negara.

Konsert pada 7 Mei itu akan diadakan bersempena pelancaran album terbaru mereka Selamat Datang ke Panggung Suara yang diumumkan Februari lalu.

Menurut pengurus Mohd Hafidzurrahman Saharddin atau lebih dikenali sebagai Rahman, tempat itu menjadi pilihan istimewa kerana ia menepati identiti kumpulan Pitahati.

"Muzium adalah sesuatu yang berkait dengan sejarah dan ia bersesuaian dengan Pitahati yang gemar meneroka segala macam bunyi khususnya dari era lampau yang mempunyai karakter tersendiri.

"Selain itu, Muzium Negara juga mempunyai suasana persekitaran lain daripada lain," katanya kepada Malaysiakini .

Pitahati kumpulan yang asalnya menggemari muzik underground. Ia dianggotai lima anak muda iaitu Ilham sebagai vokalis, Yasin (dram), Masrin (bass), Zahar serta Hidayat (gitar).

Ia ditubuhkan pada 2011 dan kini mereka masih bersemangat memperjuangkan muzik yang mungkin dianggap asing untuk pasaran bagi sesetengah pihak.

Sentuhan seni cahaya, visual

Bagaimanapun, jika didengari sendiri genre muzik rock psychedelic diketengahkan Pitahati, ia tidaklah terlalu asing sebaliknya boleh dianggap mirip Pink Floyd.

Apabila konsert mini diadakan di Muzium Negara, bagaimana agaknya sambutan penonton nanti?

Pitahati tidak meletak harapan terlalu tinggi dengan jumlah kehadiran.

"Misi kami cuma mahu peminat dan penonton mengalami sendiri persembahan secara langsung Pitahati yang dibuat dengan tema album terbaru mereka, Selamat Datang Ke Panggung Suara, " kata Rahman.

Untuk makluman, lokasi konsert ialah di auditorium Muzium Negara dan tempat duduk adalah terhad.

Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan itu, mereka boleh mendapatkan tiket menerusi akaun Facebook rasmi Pitahati.

Sebagai tarikan persembahan, Pitahati turut menggabungkan permainan cahaya dan seni visual khas disertai rekabentuk pentas khusus untuk mempesonakan penonton.

Kata Rahman, ketika ini, pihaknya juga sedang menyiapkan beberapa video promosi untuk persembahan.

"Persembahan ini akan diiringi visual-mapping dan prop yg direka khas mengikut jalan cerita lagu yang mempunyai unsur Nusantara Psychedelic-Surealisme," katanya.

Sebelum itu, penonton akan disajikan dengan persembahan pembuka panggung oleh band terbaru Luncai Emas Sdn Bhd, Ramayan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS