Penyanyi yang dilihat memberikan definisi baru kepada muzik era 1980-an, Prince, meninggal dunia malam tadi.

Dia ditemui tidak bernafas dalam sebuah lif di studionya di Chanhassen, Minnesota. Prince berusia 57 tahun.

Dikenang dengan lagu Purple Rain dan Kiss , Prince adalah personaliti yang berjuang untuk kebebasan kreativiti muzik.

Pegawai tempatan berkata anggota paramedik cuba menyelamatkan Prince dan melakukan CPR namun gagal.

Prince Rogers Nelson - nama sebenar Prince - akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.07 pagi (waktu tempatan) atau kurang dari 30 minit selepas pasukan kecemasan dimaklumkan mengenai keadaannya.

Ejen Prince juga mengesahkan kematian penyanyi berkenaan namun tidak menyatakan puncanya.

Obama pun terkesan

Sherif daerah Carver Jim Olson berkata siasatan akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian Prince.

Minggu lalu berita 'kematian' Prince tersebar ekoran kapal terbangnya membuat pendaratan kecemasan.

Bagaimanapun jurucakap penyanyi itu Yvette Noel-Schure berkata insiden itu berlaku apabila Prince mengalami masalah selesema.

Kematian Prince menarik perhatian ramai, termasuk Rumah Putih, manakala peminat bergegas ke kedai muzik untuk membeli rekodnya sebagai kenang-kenangan.

Sesetengah peminat pula merujuk berita itu sebagai "seperti bunyi merpati menangis" merujuk kepada lirik salah satu lagu popular Prince, When Doves Cry .

Presiden Barack Obama berkata Prince adalah antara pemuzik paling berbakat dan prolifik zaman ini.

"Dia melakukan semuanya - funk, R&B, rock and roll. Dia pemimpin band yang bijak dan penghibur hebat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.