Nampaknya kemunculan Acong dalam pertandingan Gegar Vaganza ( GV ) musim kedua baru-baru ini bukan saja memberi kesan positif kepada penyanyi itu, malah untuk band kesayangannya.
Langkah Acong di program itu memang datang bersama strategi. Selain beradu tuah penyanyi bernama asal Ahmad Fauzi Manat itu datang ke GV juga kerana mahu ‘menjual’ nama Sweetchild.
Strategi itu pula nampaknya membuahkan hasil kerana kini, ramai yang semakin mengenali bukan saja Acong, malah Sweetchild sendiri.
“Apabila nama saya berjaya memasuki pusingan akhir GV 2 , ia memberikan kepuasan sebab saya tahu, dengan melepasi pusingan akhir, nama Sweetchild juga dapat 'dijual'," katanya selepas sidang media pelancaran single Lepaskanmu di Kuala Lumpur semalam.
Lagu itu boleh dianggap pengubat rindu buat peminat Sweetchild selepas 16 tahun kumpulan itu 'menyepi'.
Single berkenaan dicipta sendiri oleh Acong dan liriknya pula dihasilkan Joey Daud.
Selain Acong yang bertindak selaku vokalis, Yem (pemain keyboard), Aalan (gitaris), Ijan (bass) dan Pet (dram) turut membarisi Sweetchild.
Tak pernah berpecah
Antara lagu hit Sweetchild adalah Yang Terlarang Itu Godaan, Tiggal Kasih Tinggallah Pujaan dan Mainan Perkasihanmu.
Kata Acong selepas strategi memasarkan nama Sweetchild itu berjaya barulah dia boleh memberi fokus sepenuhnya untuk Lepaskanmu .
Mengenai tempoh masa yang diambil Sweetchild sebelum mengeluarkan Lepaskanmu serta cakap-cakap tentang pembubaran band itu, Acong berkata ia tidak pernah berlaku.
“Sweetchild tidak pernah berpecah, saya sayang kumpulan ini.
“Kami masih ada dan sebab itulah ke mana-mana saya pergi, saya bawa nama Sweetchild bersama," katanya.
Kali terakhir Sweetchild - yang ditubuhkan pada 1995 - menghasilkan kompilasi adalah pada tahun 2000.
Kemudian kebanyakan masa Acong diisi dengan aktiviti berkaitan program televisyen – Maharaja Lawak Mega dan GV 2 .
Guna modal sendiri
Hal itu, kata Acong, membuatkan single Lepaskanmu terpaksa disimpan lebih dua tahun sebelum boleh diperdengarkan kepada peminat.
"Ini adalah masa terbaik," katanya sambil tersenyum.
Kebangkitan semula Sweetchild dilihat datang berserta azam Kali ini mereka lebih selesa bergerak di bawah naungan syarikat CKCS Entertainment hasil usaha sama Acong dan isterinya Siti Zuraida Zahari atau Marya.
Untuk menghasilkan Lepaskanmu , Acong berkata, 100 peratus adalah menggunakan modal sendiri, selain “kesungguhan” maksimum.
“Dari kulit album hingga merakam video klip kami buat sendiri berbekalkan modal RM8,000.
“Banyak dugaan perlu ditempuhi di peringkat awal. Ada kalanya saya dan isteri tidak mendapat gaji selepas berakhirnya sesuatu persembahan Sweetchild.
“Semua itu saya tak kisah kerana saya yang bertanggungjawab terhadap perjalanan Sweetchild dan biar saya berkorban demi menaikkan semula nama kumpulan ini,” katanya.
