Suatu ketika dulu - pada 1988 - Rain Man pernah bercerita tentang isu autisme sebelum diikuti pula kemudiannya oleh My Name Is Khan 22 tahun kemudian.

Kedua-dua filem berkenaan mengupas isu penghidap autisme dengan baik.

Di Malaysia pula Redha menjadi pelopor kepada tema berkenaan di layar perak.

Nampaknya walaupun sudah 2016, isu autisme semacam masih tabu bagi masyarakat di negara ini, malah terdapat segelintir masyarakat yang sering memberi persepsi buruk terhadap individu serta keluarga yang menghadapi masalah austime.

Biasanya filem berkenaan autisme ini naratifnya terfokus kepada pengembaraan penghidap autisme.

Namun berlainan dengan Redha di tangan Tunku Mona Riza kerana ia lebih memfokuskan mengenai keluarga yang membesarkan anak autistik.

Sukarnya hidup dengan autisme

Filem ini mempunyai banyak pekara terperinci tentang autisme menyebabkan saya seolah-olah menonton sebuah doku-drama tentang penjagaan seorang menghadapi autisme yang biasanya dapat ditonton di saluran National Geography, Discovery Channel dan sebagainya.

Bagaimanapun dari satu segi agak sayang juga apabila pegerakan babak ke babak dalam Redha ini kurang kosisten, mungkin disebabkan terdapat pelbagai pekara rinci hendak divisualkan sehingga menyebabkan berlaku kelonggaran dan keleretan padanya.

Walaupun begitu saya kagum dengan filem ini kerana dapat ia mempamerkan bagaimana kesukaran dan kerumitan hidup seseorang yang menghadapi masalah autisme.

Dari segi lakon layar, Redha amat berkesan terutama jika dilihat kepada dua watak utama iaitu Nam Ron dan June Lojong, selain watak-watak sokongan.

Antara yang boleh dipuji ialah pelakon kanak-kanak iaitu Harith Haziq yang membawa watak kanak-kanak autistik, Daniel, serta Izzy Reef.

Kedua-dua mereka nampaknya berjaya menghayati watak masing-masing secara maksimum.

Cuma jika dapat diperbaiki Redha sepatutnya memberi perhatian kepada penonjolan tidak perlu beberapa watak lain yang dilihat tidak perlu.

Sinematografi, skor muzik berkesan

Sebahagian watak penting pula patut ditonjolkan lebih awal bagi membantu mengukuhkan naratif Redha serta perkembangan plot menjadi lebih konsisten.

Dari segi sinematografi buah tangan daripada Yudi Datau (pernah memberikan khidmatnya untuk filem Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Gie dan Unggu Violet ) dia nampaknya suka bermain dengan warna dan mood bagi memberikan kesan pada perwatakan.

Dalam filem ini Yudi berjaya menghasilkan visual perlambangan autisme itu sendiri dengan pengunaan warna biru yang diperbanyakkan, terutama untuk adegan di pantai, kolam renang dan laut.

Gerakan kamera pula terasa beremosi sehingga membolehkan penonton menitiskan air mata - sekali gus diharap memberi inspirasi kepada mereka untuk memahami kehidupan individu autistik serta keluarga mereka.

Redha merupakan filem pertama Tunku Mona Riza yang sebelum ini banyak menghasilkan video komersial.

Filem ini menjadi bukti bahawa beliau berjaya menghasilkan karyanya mengenai autisme dengan penuh terperinci.

Redha juga mempunyai kehebatan tersendiri kerana dibantu kru lakon layar, sinematografi dan skor muzik yang berpengalaman dalam industri.

Pada 2016 ini dapat dilihat muncul satu demi satu filem berkualiti Malaysia dan Redha adalah satu daripadanya yang perlu dimasukkan ke senarai wajib tonton.


RIKOTEO MIZUAR baru menceburi bidang pengarahan selepas 10 tahun terbabit dalam dunia seni visual. Selain filem Asia dia menikmati produksi karya Eropah.